Wednesday, February 29, 2012

CUEPACS rayu kakitangan awam diberi pilihan kedua

Tags
KANGAR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu peluang kedua diberi kepada kakitangan awam untuk memilih opsyen melanjutkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun, walaupun tarikh penyerahan borang bagi tujuan itu berakhir 31 Disember lalu. 
Gesaan itu dibuat Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berikutan masih ramai lagi penjawat awam berminat untuk memilih opsyen terbabit, tetapi terlepas peluang berbuat demikian sebelum ini.

“Saya dapat tahu ramai penjawat awam berminat selepas mendapat tahu kelebihan memilih opsyen terbabit yang ditawarkan melalui pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

“Namun, disebabkan kurangnya kefahaman terhadap opsyen terbabit ketika ia mula ditawarkan, termasuk faktor tempoh masa singkat diberikan kepada penjawat awam untuk memikirkannya sebelum ini, menyebabkan ramai yang terlepas peluang berbuat demikian. 

“Justeru, saya harap ketua jabatan dapat memberi sedikit kelonggaran di peringkat dalaman kepada kakitangan masing-masing untuk menyertai skim terbabit. 

“Ia terbukti membawa banyak faedah kepada penjawat awam dan saya sendiri percaya ia dapat dilakukan tanpa menjejaskan ketetapan sedia ada,” katanya di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Seminar Pengurusan Kesatuan Pekerja anjuran bersama Kesatuan Pekerja Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di sini, semalam. 
Hadir sama, Presiden KPKSM, Ibrahim Ahmad. 

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari, tetapi mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lalu. 

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi membuat pilihan sama ada memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan lama. 

Dalam skim baru berkenaan, hiraki perkhidmatan awam dibahagikan kepada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.
(sumber dari sini)

Tuesday, February 28, 2012

Sabotaj Majikan kerana dibuang kerja, PENGASUH KEJAM

Tags
JOHOR BAHRU: Marah kepada majikan, dua pengasuh sebuah pusat asuhan di Taman Kota Masai, dekat sini, bertindak kejam menampal pita pelekat pada mulut bayi jagaan mereka manakala tubuh pula dililit ketat dengan kain bedung.

KESAL...Shaherah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya sambil Norhashimah (kiri) menunjukkan gambar anaknya, Ahmad Afiq yang ditampal pita pelekat.
Tidak cukup dengan itu, dua pengasuh terbabit turut membuat rakaman video gambar tujuh bayi di bawah jagaan mereka itu sebelum rakaman berkenaan diedarkan kepada umum.

Berikutan perbuatan khianat dua wanita berusia 20 dan 22 tahun itu, pemilik pusat asuhan berkenaan, Shaherah Abd Malik berdepan pelbagai masalah untuk menjelaskan apa sebenarnya berlaku kepada pelbagai pihak yang memandang serong terhadapnya. 

“Ini perbuatan khianat. Hakikatnya, saya dan pengasuh lain tidak pernah mengabaikan kebajikan bayi serta kanak-kanak yang dihantar ke pusat asuhan kami.

“Dua bekas pekerja saya itu sengaja berbuat demikian bagi merosakkan nama baik dan perniagaan saya,” katanya.
(SUMBER DARI SINI)

Monday, February 27, 2012

Kitab Injil 1,500 tahun ditemui

Tags
Terdapat catatan ramalan Nabi Isa mengenai kedatangan Muhammad SAW
KITAB Injil berusia 1,500 tahun yang ditemui di Turki dan dikatakan mencatat ramalan kedatangan Nabi Muhammad.
ANKARA: Satu naskhah kitab Injil berusia 1,500 tahun yang mengandungi ramalan Nabi Isa mengenai kedatangan Nabi Muhammad menarik perhatian Vatican apabila pemimpin agama Roman Katolik, Pope Benedict XVI, dilaporkan meminta untuk melihat kitab itu, yang disembunyikan di Turki sejak 12 tahun lalu.

Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Turki Ertugrul Gunay, memberitahu akhbar Daily Mail, naskhah yang dianggarkan bernilai AS$22 juta (RM66 juta) itu mengandungi ramalan Nabi Isa mengenai kedatangan Muhammad.
Bagaimanapun Gereja Kristian menghalang maklumat itu daripada disebarkan dan diketahui ramai selama bertahun-tahun, berikutan persamaannya dengan pandangan Islam mengenai Nabi Isa, katanya.
Dalam Islam, Nabi Isa dilayan sebagai manusia, bukan Tuhan. Ia menolak idea Holy Trinity dan penyaliban serta mendedahkan ramalan Nabi Isa mengenai kedatangan Nabi Muhammad.

Dalam satu versi kitab Injil itu, Nabi Isa dikatakan bercakap dengan paderi: Bagaimana hendak memanggil penyelamat itu? Dia Mohammed adalah nama diberkati. 

Dalam satu lagi catatan, Nabi Isa menafikan beliau adalah penyelamat sebaliknya orang itu datang dari golongan Ismaili merujuk kepada bangsa Arab keturunan Nabi Ismail.

Menurut laporan, umat Islam mendakwa naskhah itu, yang dikatakan ramai ialah Injil Saint Barnabas, adalah tambahan kepada Injil asli Mark, Matthew, Luke dan John. 
Saint Barnabas secara tradisi dikenali sebagai pengasas Gereja Cypriot dan seorang mubaligh era awal perkembangan agama Kristian.

Gunay berkata, kitab Injil berkenaan ditulis tangan di atas kulit haiwan dengan emas menggunakan bahasa Aramaik (dipercayai hampir serupa dengan bahasa Hebrew).

Beliau berkata, Vatican secara rasmi meminta untuk melihat buku itu, yang ditemui Turki ketika operasi antipenyeludupan pada 2000. Kumpulan samseng dilaporkan menyeludup pelbagai artifak purba.

Ia dikawal ketat oleh pihak berkuasa sebelum diserahkan kepada Muzium Etnografi Ankara dan akan dipamerkan tidak lama lagi. Salinan muka surat tunggal yang ditulis Nabi Isa dilaporkan bernilai AS$2.4 juta (RM7.2 juta). 

Bagaimanapun, keraguan mengenai keaslian manuskrip bertulis tangan itu mula timbul. Paderi Protestan, Ihsan Ozbek, berkata buku versi itu dikatakan dari abad kelima atau keenam, manakala Saint Barbanas hidup pada abad pertama sebagai seorang daripada pesuruh Nabi Isa. - Agensi
(sumber dari sini)

Sunday, February 26, 2012

NUTP syor guru bersara ganti ETA

Tags
Dialek bahasa Inggeris AS sukar difahami 

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa tindakan menempatkan Peace Corps atau Pembantu Guru Bahasa Inggeris Fullbright (ETA) selama beberapa bulan tidak banyak membantu meningkatkan penguasaan pelajar.
Gambar Hiasan
Presidennya, Hashim Adnan, berkata maklum balas daripada guru di Terengganu yang mempunyai ETA menunjukkan pelajar terpinga-pinga mendengar dialek bahasa Inggeris Amerika Syarikat (AS) kerana sebutannya sukar difahami.

Beliau berkata, ETA juga mungkin bukan guru BI atau jika mereka guru terlatih sekalipun, kaedah yang berjaya di AS tidak semestinya berkesan jika diterapkan di negara ini kerana tahap penguasaan pelajar berbeza. 

Di AS katanya, bahasa Inggeris ialah bahasa ibunda tetapi di negara ini, bahasa berkenaan ialah bahasa kedua atau bahasa asing. 

“Adalah lebih wajar jika Kementerian Pelajaran mengambil semula guru Bahasa Inggeris yang sudah bersara bagi mengatasi masalah itu yang sekali gus membantu meningkatkan penguasaan pelajar. 

“Sebagai penyelesaian jangka panjang, mereka juga beranggapan melatih warga negara tempatan yang fasih dalam bahasa berkenaan lebih baik daripada menaja sukarelawan atau penutur jati dari negara lain,” katanya. 
Baru-baru ini, seramai 50 rakyat AS tiba di negara ini dan mereka ditempatkan di beberapa sekolah di Terengganu, Pahang dan Johor sebagai kumpulan pertama ETA. Masing-masing adalah sebahagian daripada 300 ETA yang dibiayai kementerian. 

Adnan berkata, kedatangan ETA juga boleh mewujudkan pertembungan budaya yang mungkin tidak disenangi pelajar.

Sepanjang tempoh beberapa bulan pertama, ETA perlu menghabiskan masa menyesuaikan keadaan tempatan kerana mereka perlu belajar budaya dan mesra dengan murid. 

Sementara itu, Presiden Kirkby International College, Bismillah Khatoon Abdul Kader, berkata hasrat membawa ETA supaya pelajar meniru percakapan penutur asli mengelirukan pelajar. 

Katanya, slanga penutur dari AS berbeza dari United Kingdom (UK), bahkan UK mempunyai beberapa slanga seperti Irish, Scotland atau Welsh. 

Beliau berkata, AS juga menggunakan sistem ejaan berbeza berbanding UK yang dianggap standard di negara ini. 

“Lagipun, ada banyak lagi negara lain yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda selain UK atau AS dan mereka juga boleh dianggap sebagai penutur jati,” katanya.
(sumber dari sini)

Thursday, February 23, 2012

SBPA - Najib bakal buat pengumuman adil, saksama bagi penjawat awam

Tags
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membuat pengumuman yang adil dan saksama berkaitan perkhidmatan awam, termasuk mengenai Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). 
Perkara itu dinyatakan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Perdana Menteri di pejabatnya di sini, hari ini.

Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

"Perkara itu akan diumumkan dalam waktu terdekat dan dijangka memberikan keadilan dan kebaikan untuk semua penjawat awam," katanya tanpa mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal diumumkan itu. 

Omar berkata, CUEPACS sendiri akan menyambut baik apa sahaja perkara yang bakal diumumkan serta mengucapkan terima kasih di atas kesudian serta kesediaan Perdana Menteri untuk mengadakan perbincangan dan mendengar cadangan demi kebaikan penjawat awam. 

"Pertemuan hari ini menyentuh mengenai secara keseluruhan apa tuntutan serta pandangan yang dikemukakan Cuepacs selama ini berhubung permasalahan penjawat awam termasuk mengenai isu SBPA," katanya. 

Omar berkata, Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan untuk menghadiri perhimpunan besar-besaran yang akan mengumpul seramai 15,000 penjawat awam yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 12 Mac depan. - BERNAMA
(sumber dari sini)

Wednesday, February 22, 2012

Sahkan naik pangkat sebelum laksana SBPA

Tags
KGMMB dakwa ramai guru kanan tak pasti status

KESATUAN guru mendesak Kementerian Pelajaran mengesahkan terlebih dahulu mengenai kenaikan pangkat yang sudah dinilai mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM) sebelum menguatkuasakan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mendakwa sejumlah jawatan kanan masih belum mendapat pengesahan kementerian walaupun penilaian, temu duga dan pembentangan sudah dilaksanakan pada Jun dan Julai tahun lalu.

Warga pendidikan kini serba salah kerana selepas menandatangani SBPA, syarat kenaikan pangkat berbeza berbanding SSM sedangkan mereka sudah dinilai mengikut SSM. - Abdullah Mamat, Pengerusi KGMMB.
Pengerusi KGMMB Cawangan Terengganu, Abdullah Mamat, berkata sebagai contoh beberapa penjawat Pengetua gred DG48 masih menunggu surat pengesahan kenaikan gred DG52, iaitu Pengetua Cemerlang.

“Apa yang berlaku guru, penolong kanan dan pengetua diberi notis singkat pada Disember lalu untuk menandatangani opsyen sebelum 28 Disember dan menerima SBPA.

“Warga pendidikan kini serba salah kerana selepas menandatangani SBPA, syarat kenaikan pangkat berbeza berbanding SSM sedangkan mereka sudah dinilai mengikut SSM,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Abdullah berkata, Kementerian Pelajaran harus mewujudkan tempoh peralihan yang memadai untuk menyelesaikan semua kenaikan pangkat atau pelantikan jawatan kanan sebelum menguatkuasa SBPA. 

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) percaya Bahagian Sumber Manusia , Kementerian Pelajaran akan menyelesaikan isu berkenaan secara adil kepada semua pihak.

Presidennya, Adnan Hashim, berkata sebarang perjanjian yang sudah ditandatangani warga pendidikan di bawah SSM akan terpakai walaupun mereka menerima opsyen SBPA.

Beliau berkata, isu penangguhan pelantikan ke jawatan lebih tinggi itu membabitkan segelintir pegawai kanan manakala sebahagian besar warga pendidikan terutama guru biasa menyambut baik SBPA.

“Skim baru ini menyediakan gaji lebih lumayan kepada guru sekolah rendah atau menengah dan saya percaya kebanyakan guru menyambut baik SBPA,” katanya.

Berdasarkan SBPA, guru bukan siswazah menerima kenaikan gaji sehingga 39 peratus, manakala guru siswazah menerima kenaikan 37.7 peratus.

Sebagai contoh, gaji maksimum guru bukan siswazah gred DGA34 dinaikkan daripada RM3,860 di bawah SSM kepada RM5,370 mengikut SBPA.

Bagi guru siswazah pula, gaji maksimum gred DG48, di bawah SSM ialah RM6,325 menjadi RM8,710 mengikut SBPA. (sumber dari sini)

Tuesday, February 21, 2012

Melacur kumpul duit kahwin

Tags
Pelayan pusat karaoke beri alasan ketika ditahan selepas layan pelanggan

JOHOR BAHRU: Seorang pelayan pusat karaoke mendakwa terpaksa menawarkan khidmat seks ketika bekerja di situ, bagi mengumpul wang untuk membiayai majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung beberapa bulan lagi.
POLIS menyoal siasat wanita yang dipercayai menawarkan khidmat seks dalam serbuan di hotel bajet di Johor Bahru, semalam.
Alasan itu diberikan ketika anggota polis Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Johor menyerbu sebuah bilik hotel bajet terletak di belakang pusat karaoke tempat wanita itu bekerja, dekat Jalan Tun Abdul Razak di sini, awal pagi semalam.

Ketika ditahan, wanita terbabit baru saja selesai melayan seorang lelaki yang melanggannya ketika mengunjungi pusat karaoke berkenaan. 

Sebaik ditahan, wanita berusia lingkungan 20-an itu menangis meminta dilepaskan kerana bimbang perkahwinan yang dirancangnya beberapa bulan lagi musnah jika kegiatan itu diketahui tunangnya.

Pegawai Turus D7, Deputi Superintendan, Mohammad Abd Hamid, berkata serbuan dilakukan mulai jam 12 malam selepas mendapat maklumat awam dan hasil risikan berhubung kegiatan pelacuran yang ditawarkan pusat karaoke terbabit.

Katanya, dua pelayan wanita tempatan yang bekerja di pusat karaoke itu disyaki menawarkan khidmat seks kepada pelanggan mereka dan penjaga pusat karoke terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut. 
“Modus operandi yang digunakan lebih kurang sama dengan pusat hiburan eksklusif yang diserbu baru-baru ini, apabila pelayan menawarkan khidmat seks ketika berada di dalam bilik karaoke sebelum menjadikan hotel murah berdekatan untuk melampiaskan nafsu untuk menutup kegiatan mereka. 

“Di sini, tawar menawar dibuat antara pelanggan dengan penjaga pusat karoke itu, sebelum persundalan dilakukan di hotel murah kira-kira 20 meter di belakang pusat terbabit dengan bayaran RM250,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 372(b) Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan pelacuran, manakala penjaga premis ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 372(1)(F) kanun sama.

“Operasi berterusan akan terus dilakukan bagi memastikan aktiviti persundalan dan jenayah lain dapat dibanteras.

“Maklumat dan kerjasama daripada orang ramai diperlukan untuk membantu polis menangani kegiatan jenayah,” katanya.(sumber dari sini)

Monday, February 20, 2012

Remaja ditahan ugut sebar gambar bogel pasangan kekasih

Tags
DUNGUN: Seorang remaja yang dipercayai menyamar sebagai penguat kuasa agama yang memukul dan mengarahkan sepasang kekasih berbogel untuk dirakamkan aksi mereka ketika mangsa memadu asmara di Pantai Sura Hujung, di sini, berjaya ditahan.  Manakala dua lagi rakan suspek masih diburu.
Selain bertindak memukul dan merakam gambar bogel mangsa, suspek berumur 18 hingga 20-an itu turut mengugut pasangan kekasih itu supaya membayar sebanyak RM2,000 sekiranya tidak mahu gambar bogel mereka disebarkan dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, pasangan kekasih berumur 20-an yang berada di dalam kereta didatangi tiga lelaki berkenaan. 

Pasangan terbabit yang cemas kemudiannya membiarkan ketiga-tiga lelaki terbabit memasuki keretanya dan suspek dikatakan turut memukul serta memaksa pasangan itu menanggalkan pakaian. 

Kedua-dua mangsa juga turut mengikut arahan suspek yang merakam gambar bogel mereka dengan telefon bimbitnya. 

Selepas merakamkan aksi bogel terbabit, suspek kemudiannya meminta wang tunai sebanyak RM2,000 dimasukkan ke dalam akaunnya bagi mengelak gambar mereka disebar kepada umum. 
Mangsa, bagaimanapun, mendakwa tidak mempunyai wang memandangkan waktu itu bank sudah tutup dan selepas berbincang, suspek bersetuju dengan cadangan mangsa yang meminta diberi sedikit masa untuk menjelaskan wang itu pada keesokan harinya. 

Suspek kemudiannya melepaskan pasangan terbabit sebelum kedua-dua mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk membuat laporan. 

Keesokan harinya, mangsa menghubungi suspek untuk bertemu di lokasi di mana mereka ditahan dan ketika tiba di tempat kejadian, kira-kira jam 9 malam, suspek diserbu polis dan berlaku pergelutan dalam usaha suspek meloloskan diri. 

Suspek yang berusia 18 tahun itu berjaya ditahan sebelum dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut manakala dua rakannya itu berjaya melarikan diri. 

Turut dirampas sebilah parang panjang daripada suspek dan gerakan memburu dua lagi suspek sedang giat dijalankan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu. 

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis. 

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan segelintir mereka yang cuba mengambil kesempatan termasuk menyamar sebagai penjawat awam. - BERNAMA
(SUMBER DARI SINI)

Lelaki kecewa zakar dipotong fail saman RM1.4j

Tags
LONDON: Seorang lelaki yang kecewa kemaluannya terpaksa dipotong selepas menghidap barah zakar memfailkan saman terhadap sebuah hospital kerajaan menuntut ganti rugi lebih £300,000 (RM1.4 juta) berhubung tuduhan doktor gagal mengenal pasti penyakit itu.
Boguslaw Faber, 50, cedera ketika bekerja apabila terjatuh ke atas tiang tajam. Namun selepas mendapatkan rawatan perubatan, dia mendakwa doktor di Hospital Diraja London terlepas bukti dia menghidap barah zakar.
Dalam writ Mahkamah Tinggi, Faber mendakwa doktor tersilap membaca biopsi dan secara salah merumuskan dia menghidap penyakit kulit, bukannya penyakit yang jarang berlaku itu.
Beliau mendakwa disebabkan kecuaian doktor, penyakit berkenaan dibiarkan merebak beberapa bulan.

Faber terpaksa menjalani pembedahan menyakitkan untuk membuang sebahagian zakarnya sebelum ia dibentuk semula. Beliau juga memerlukan dua lagi pembedahan selepas kakinya bengkak dan sudah pun menjalani pembedahan membuang sebahagian tiroid.

Faber, yang berpindah ke Britain dari Poland pada tahun 1994, menuduh Firma Bart and London Hospital, yang mengendalikan institusi berkenaan, cuai.

Dia mendakwa, jika keadaannya didiagnos dengan sempurna pada peringkat awal, dia boleh dirawat dengan cara kurang menyakitkan. Faber juga berkata dia boleh mengelak zakarnya dipotong dan dibentuk semula. 
“Doktor gagal mengambil biopsi dengan segera, gagal mengesyaki saya menghidap barah dan gagal mengulangi pengambilan biopsi dengan cepat walaupun saya mengalami kesakitan teruk,” katanya.

Menurut fakta dalam samannya, Faber cedera ketika bekerja pada April 2008. 
Selepas mendapatkan bantuan perubatan, beliau dibenarkan keluar tetapi kembali ke hospital selepas kesakitan tidak surut selepas tiga bulan.

Beliau diberi antibiotik berulang kali di klinik urologi hospital itu tetapi apabila ia tidak berkesan, dia diberi rawatan anti-kulat hampir setahun.

Selepas pakar bedah membincangkan masalahnya, cadangan seorang doktor wanita supaya pembedahan dilakukan kerana zakarnya tidak sembuh seperti yang dijangka, ditolak oleh pakar bedah kanan.

Mereka menegaskan masalahnya disebabkan jangkitan. Faber kemudian kembali ke Poland dan diberi amaran oleh dua doktor mengenai risiko barah dan meminta dia menjalani satu lagi biopsi. – Agensi
(sumber dari sini)

Sunday, February 19, 2012

KWSP umum dividen 6 peratus, tertinggi sejak 2001

Tags
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 6 peratus untuk pencarumnya bagi tahun kewangan berakhir Disember 31 2011, iaitu meningkat 20 mata asas berbanding 5.8 peratus untuk 2010.
Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman, berkata kadar dividen ini adalah tertinggi dalam tempoh 10 tahun dengan bayaran sebanyak RM24.47 bilion akan diagihkan kepada pencarumnya, berbanding RM21.61 bilion yang dibuat untuk tahun kewangan 2010.
Berdasarkan laporan sebelum ini, dividen tertinggi yang pernah diumumkan oleh kumpulan itu ialah sebanyak 8.5 peratus, dibayar kepada pencarum pada 1983 hingga 1987.
Samsudin berkata, 2011 menandakan satu lagi pencapaian baik KWSP, walaupun menghadapi persekitaran pelaburan yang mencabar dengan memperolehi pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM27.24 bilion, meningkat 13.18 peratus daripada 2010.

"Ia adalah prestasi terbaik sejak tahun 2001 hasil strategi pelaburan jangka panjang dan berhemah KWSP, berserta usaha berterusan pasukan pelaburannya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

"Sementara pelaburan berpendapatan tetap memberikan pulangan yang stabil, prestasi keseluruhan KWSP, sebahagian besarnya disumbangkan oleh perolehan dalam kedua-dua ekuiti tersenarai awam domestik dan global, serta program pengurusan yang aktif," katanya.

Setakat 31 Disember 2011, Samsudin berkata jumlah aset pelaburan KWSP terus mencatatkan pertumbuhan sihat sebanyak 6.52 peratus kepada RM469.22 bilion daripada RM440.52 bilion pada 2010. 
"Pertumbuhan ini disumbangkan sebahagian besarnya oleh caruman tahunan bersih yang positif daripada pencarum dan majikan serta prestasi pelaburan yang konsisten dan menggalakkan," katanya.

Beliau juga berkata, ekuiti merupakan penyumbang pendapatan terbesar sebanyak RM13.29 bilion atau 48.81 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan.

"Ini diikuti oleh pinjaman dan bon, Sekuriti Kerajaan Malaysia dan instrumen pasaran wang, masing-masing menyumbang RM7.54 bilion, RM5.63 bilion dan RM656.36 juta. Baki sebanyak RM115.41 juta atau 0.43 peratus disumbangkan oleh hartanah dan pendapatan pelaburan lain," katanya.

Samsudin berkata, KWSP juga secara beransur-ansur beralih kepada aset yang memberikan pulangan lebih tinggi dengan had risiko yang boleh diterima di mana ia memberikan kesan yang baik, melebihi jangkaan kerana berjaya mengatasi kadar simpanan tetap dan faedah semasa.

"Salah satu pencapaian utama aktiviti pelaburan KWSP pada 2011 ialah penyelesaian pengambilalihan bersama (dengan kumpulan UEM) Plus Expressway Berhad melalui syarikat pelaburan bersama PLUS Malaysia Sdn Bhd, selain meluaskan pelaburan global dalam hartanah, ekuiti dan sukuk," katanya.

Samsudin berkata, perluasan ini adalah selaras dengan objektif dan strategi pelaburan yang berpandukan Alokasi Aset Strategik dan Rangka Kerja Pengurusan Risiko KWSP.

Katanya, pencarum KWSP boleh mendapatkan Penyata Kira-Kira KWSP untuk menyemak pengkreditan dividen 2011 melalui kiosk KWSP, kaunter atau i-Akaun mulai esok.
- BERNAMA
(sumber dari sini)

BR1M: Bukan wakil rakyat tentukan penerima

Tags
PAKAN, Sarawak: Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang, berkata kelulusan atau penolakan permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan ditentukan oleh wakil rakyat atau pegawai daerah. 
"Oleh itu, pemohon yang gagal tidak sepatutnya menyalahkan atau memarahi mereka," katanya pada majlis bertemu rakyat dan upacara memasuki rumah baru di rumah panjang Barak Gadom di Nyalak Ili sebanyak 27 unit di sini malam tadi.

Beliau berkata, antara sebab utama sesuatu permohonan itu ditolak ialah kesilapan pemohon dalam mengisi borang.

Katanya, setiap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bertangungjawab menjaga kebajikan semua penduduk di kawasan yang mereka wakili, tanpa mengira fahaman politik. 

"Dia tidak boleh mengutamakan anggota BN sahaja dalam pengagihan sesuatu bantuan atau geran. Walaupun ada anggota parti yang tidak berpuas hati dengan perkara ini, tapi saya harap mereka akan sedar bahawa kerajaan BN adalah kerajaan untuk semua rakyat," katanya. - BERNAMA
(sumber dari sini)

Thursday, February 16, 2012

Dividen KWSP dijangka 6 peratus

Tags
KUALA LUMPUR: Kira-kira 8.3 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka menikmati kadar dividen lebih tinggi bagi tahun kewangan 2011, mungkin mencecah enam peratus berbanding 5.8 peratus pada 2010. 
Sumber memberitahu Berita Harian, KWSP dijangka mengumumkannya dalam tempoh terdekat berikutan suasana kewangan dan ekonomi yang bertambah baik bagi tahun kewangan 2011.

“Tidak pasti berapa kadar dividen yang bakal diumumkan... kemungkinan mencecah enam peratus,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tahun lalu, KWSP mengumumkan kadar dividen 5.8 peratus untuk ahlinya bagi tahun kewangan 2010, iaitu meningkat 15 mata asas, berbanding 5.65 peratus dibayar pada 2009. 

Ia adalah bayaran dividen tertinggi oleh KWSP, iaitu RM21.61 bilion, peningkatan 11.55 peratus berbanding dividen RM19.37 bilion pada tahun sebelumnya. 

Disember lalu, KWSP meraih pendapatan pelaburan RM6.8 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September lalu, meningkat 18.32 peratus berbanding RM5.75 bilion yang dicatat pada suku sama 2010, didorong pulangan pelaburan ekuiti yang memberangsangkan. 

Diperkukuhkan dengan aliran caruman bersih ahli, Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Azlan Zainol, berkata aset pelaburan KWSP terus meningkat kepada RM452.05 bilion berbanding RM440.52 bilion yang dicatatkan akhir 2010. 
Sementara itu, sumber Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, mereka mengadakan pertemuan hampir tiga jam bersama KWSP semalam, bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk Skim Khas Pembiayaan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

“KWSP secara terperinci menjelaskan skim itu kepada kepemimpinan tertinggi MTUC selain menegaskan ia tidak membabitkan pemberian pinjaman kepada individu. 

“Selain itu, kita juga membincangkan perkara lain termasuk mengenai pelaburan KWSP... secara keseluruhannya MTUC berpuas hati dengan pertemuan bersama KWSP itu,” katanya.
(sumber dari sini)

Wednesday, February 15, 2012

Rayuan BR1M dilanjut selepas 15 Mac

Tags
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia melanjutkan tempoh rayuan permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selepas 15 Mac depan bagi memastikan mereka yang layak menerima bantuan itu, kata Datuk Seri Najib Razak.
NAJIB bersama Muhyiddin pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato’ Onn, PWTC, malam tadi.
Perdana Menteri berkata, langkah itu memberi peluang kepada mereka yang gagal dalam permohonan lalu untuk mendapatkan bantuan RM500, dan menikmati faedah daripada program berkenaan.

“BR1M adalah satu bentuk bantuan dan faedah yang sangat berkesan dan dihargai rakyat.


“Kita ambil maklum jika ada yang tidak diluluskan tetapi difikirkan layak menikmati bantuan itu masih boleh buat rayuan dan rayuan boleh dibuat terus hingga 15 Mac depan.

“Tetapi jika sehingga tempoh itu ada lagi yang difikirkan layak, kita akan lanjutkan tempoh supaya bantuan sampai pada semua,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato' Onn, di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BR1M mula dibayar mulai 15 Januari lalu dan dijangka mengambil masa dua bulan untuk diagihkan kepada golongan sasaran. 
Najib yang juga Pengerusi BN turut mengumumkan mesyuarat malam tadi meluluskan tiga daripada 11 permohonan yang diterima untuk menjadi ahli gabungan BN.

Ia membabitkan Gabungan Wawasan Generasi Felda, Persatuan Bekas Anggota KEMAS Malaysia dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia.

Ditanya mengenai logo 1Malaysia yang diwajibkan ke atas barang kawalan untuk membolehkan pengusaha menikmati subsidi, Perdana Menteri berkata gagasan itu melangkaui politik.

Mengulas mengenai tindakan pakatan pembangkang mahu mengadakan Himpunan Hijau di Kuantan pada 26 Februari ini, Najib berkata, berdasarkan peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2011, mereka berhak untuk berbuat demikian.
(sumber dari sini)

Tuesday, February 14, 2012

Isu SBPA: CUEPACS lega

Tags



  • Kerajaan pada dasar setuju dengan 5 tuntutan kesatuan

  • Isu skim saraan baru dijangka dapat selesai lebih awal


  • PUTRAJAYA: Lima tuntutan yang dikemukakan CUEPACS berhubung skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) menerima maklum balas positif daripada kerajaan, sekali gus memungkinkan kontroversi isu itu diselesaikan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan pada 16 April depan. Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, ketika pertemuan dengan pihaknya baru-baru ini memaklumkan kerajaan pada dasarnya bersetuju dengan lima tuntutan berkenaan.
    Katanya, Mohd Sidek memaklumkan lima tuntutan berkenaan perlu diberi pertimbangan, terutama yang membabitkan isu kritikal. 
    PRESIDEN CEUPACS, Datuk Omar Osman bersama timbalannya Azih Muda (dua dari kanan) dan Setiausaha Agung Lok Yim Pheng (kiri), pada sidang media di International Hotel, Kuala Lumpur, bulan lalu. - Foto Rosdan Wahid
    PRESIDEN CEUPACS, Datuk Omar Osman bersama timbalannya Azih Muda (dua dari kanan) dan Setiausaha Agung Lok Yim Pheng (kiri), pada sidang media di International Hotel, Kuala Lumpur, bulan lalu. - Foto Rosdan Wahid
    Selain itu, Omar berkata, mesyuarat pasukan petugas khas semakan semula SBPA kali ketiga semalam menunjukkan maklum balas positif secara terbuka untuk menilai lima tuntutan berkenaan serta beberapa cadangan CUEPACS.

    "Selepas tiga kali bermesyuarat dan dengan kemasukan tiga lagi anggota CUEPACS dalam pasukan itu, ada perkembangan positif ditunjukkan. Ada keterbukaan dalam mendengar maklum balas daripada kita. 

    "Berikutan itu, kita yakin perkara ini boleh diselesaikan lebih awal daripada tempoh yang diberikan. Lima tuntutan CUEPACS bukan satu perkara yang menyulitkan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasukan petugas khas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, di sini semalam.

    Sebelum ini, CUEPACS mengumumkan lima tuntutan, iaitu mengkaji semula prinsip pemindahan gaji penjawat gred 54 ke bawah, mengekalkan status kekananan penjawat awam dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), mengkaji semula tangga gaji maksimum, menyenaraikan penjawat awam yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.

    Omar juga berkata, persetujuan kerajaan terhadap lima tuntutan CUEPACS itu akan memberikan keceriaan kepada kakitangan awam yang sebelum ini kurang puas hati dengan pelaksanaannya.

    "Isu SBPA ini dapat diselesaikan secara perbincangan seperti yang diadakan hari ini kerana jika CUEPACS tidak dibawa dalam rundingan, ia akan terus menjadi isu di kalangan kakitangan awam," katanya.

    Beliau juga memaklumkan satu bengkel Jawatankuasa Bertindak CUEPACS berhubung isu SBPA akan diadakan di ibu negara pada 17 dan 18 Februari ini bagi menyediakan kertas kerja komprehensif mengenai masalah skim baru itu.

    "Bengkel ini akan dihadiri pelbagai pihak berkaitan, termasuk ahli akademik bagi membincangkan isu itu dan menyediakan satu kertas kerja komprehensif untuk penyelesaiannya," katanya.

    Sementara itu, Ismail berkata, pasukan petugas khas masih meneruskan perbincangan dan semua maklum balas serta cadangan yang diterima akan diteliti.

    Kerajaan sebelum ini memberikan tempoh tiga bulan yang berakhir 16 April ini kepada pasukan berkenaan untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan SBPA selepas menerima arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya kedua-dua pihak berbincang bagi menyelesaikannya.
    (sumber dari sini)
  • Sunday, February 12, 2012

    15,000 guru berijazah belum naik gred G41

    Tags
    Terpaksa tanggung beban bayaran pinjaman pendidikan

    SEREMBAN: Kira-kira 15,000 guru lepasan ijazah di seluruh negara belum menerima kenaikan gred G41 walaupun sebahagian mereka sudah melepasi proses temu duga sejak dua tahun lalu, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng.
    Gambar Hiasan

    Beliau berkata, perkara itu menimbulkan ketidakpuasan hati kumpulan guru terbabit yang sanggup membuat pinjaman pendidikan atau mengeluarkan simpanan sendiri bagi menampung kos menyambung pelajaran sebelum ini.


    Dengan jaminan kenaikan gred itu, mereka membuat keputusan berkenaan (menyambung pelajaran) dengan harapan dapat meningkatkan pendapatan. - Lok Yim Pheng, Setiausaha Agung NUTP
    Katanya, berikutan penangguhan itu, sebahagian guru terbabit kini menanggung masalah kewangan termasuk untuk membayar semula pinjaman pendidikan kerana gaji diterima masih di takuk lama.

    “Mereka membuat perancangan rapi terutama membabitkan soal kewangan sebelum mengambil keputusan menyambung pelajaran kerana kebanyakannya sudah berkeluarga dan mempunyai banyak komitmen.

    “Dengan jaminan kenaikan gred itu, mereka membuat keputusan berkenaan (menyambung pelajaran) dengan harapan dapat meningkatkan pendapatan. 

    “Namun, proses kenaikan gred itu kini digantung dan kami tidak tahu sampai bila,” katanya dalam sidang media di sini, semalam. 
    Yim Pheng berkata, sebelum ini, proses kenaikan gred selepas seseorang calon melepasi temu duga biasanya mengambil masa kurang setahun untuk berkuat kuasa tetapi penangguhan itu turut menjejaskan tempoh perkhidmatan bagi kenaikan pangkat.

    Justeru, beliau berkata, pihaknya meminta Kementerian Pelajaran menyegerakan proses berkenaan kerana jumlah guru yang tamat pengajian ijazah semakin bertambah dari semasa ke semasa. 

    Sementara itu, Yim Pheng meminta Kementerian Pelajaran memberi peluang kepada guru yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras tiga dan empat yang layak menikmati anjakan gaji menikmatinya, walaupun tempoh sah penilaian itu tamat tahun ini berikutan pemansuhannya.

    Beliau berkata, kebanyakan guru terbabit belum cukup syarat tempoh perkhidmatan dan hak mereka dinafikan kerana tempoh sah penilaian itu tamat sebelum mereka mencukupkan syarat berkenaan.

    “Tidak adil bagi guru terbabit yang berusaha lulus PTK dan ketika menunggu masa untuk menikmati anjakan gaji, tiba-tiba kelulusan PTK mereka tidak boleh digunakan dan terpaksa menduduki penilaian baru,” katanya.
    (sumber dari sini)

    Thursday, February 9, 2012

    Lintah tidak sebar penyakit

    Tags
    KUALA LUMPUR: Belum ada lagi kajian dilakukan menunjukkan lintah boleh menyebarkan penyakit kepada manusia melalui rawatan bekam termasuk penyakit batuk kering (tibi).
    Doktor dan Koordinator Makmal, Unit Kesihatan Haiwan Akuatik, Fakulti Perubatan Vaterinar, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Hassan Mohd Daud berkata, kajian klinikal di luar negara termasuk Amerika Syarikat (AS) lintah boleh merawat penyakit seperti migrain serta resdung selain tidak memberi kesan sampingan melalui gigitannya.
    “Kajian klinikal mengenai lintah belum dijalankan di negara ini, namun ia giat dilakukan di luar negara dan tiada kajian menunjukkan lintah mendatangkan mudarat kepada manusia, ” katanya, semalam.
    Beliau berkata demikian mengulas mengenai kemungkinan lintah boleh menyebarkan penyakit melalui rawatan bekam lintah berikutan kenyataan pakar dermatologi Hospital An-Nur, Dr Saadiah Sulaiman yang didatangi dua pesakit dijangkiti batuk kering ganjil selepas mendapatkan rawatan bekam lintah.

    Katanya, tidak mungkin lintah mampu menyebarkan penyakit tibi kerana ia hanya boleh berjangkit melalui udara dan kemungkinan lintah menyebarkan bakteria yang ada padanya amat rendah.

    Bagaimanapun, katanya, pengusaha bekam lintah perlu memastikan lintah dikuarantin dan dibersihkan mengikut prosedur yang betul terlebih dulu sebelum digunakan terhadap pesakit.

    Katanya, hasil analisis dijalankan terhadap lintah dikuarantin sehingga tiga minggu dengan kawalan suhu dan pH air yang betul menunjukkan hanya bakteria biasa ditemui pada usus dan mulut lintah turut ditemui di tanah dan air. 
    “Dengan penggunaan bahan tertentu seperti kunyit dan halia, semua bakteria berbahaya terbunuh kerana dua bahan berkenaan mempunyai bahan antiseptik yang mampu membunuh dan merencatkan pertumbuhan bakteria,” katanya.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mahu mendapatkan rawatan bekam lintah supaya memeriksa terlebih dulu prosedur kebersihan yang diambil pengusaha rawatan berkenaan.

    “Pesakit perlu bijak memilih pusat rawatan termasuk mengenal pasti terlebih dulu tahap kebersihan dan kesihatan lintah yang digunakan, ” katanya.
    (sumber dari sini)

    Tuesday, February 7, 2012

    Kementerian Kesihatan larang rawatan lintah

    Tags
    Kaedah dikesan tak selamat, risiko sebar penyakit berjangkit 

    KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan tidak pernah memberi kelulusan kepada pusat kesihatan menjalankan kaedah perubatan melalui penggunaan lintah kerana keberkesanannya tidak dapat dibuktikan secara saintifik.
    Gambar Hiasan
    Sehubungan itu, orang ramai dilarang menggunakan lintah sebagai kaedah rawatan yang dikesan tidak selamat dan mampu membawa risiko penularan penyakit berbahaya yang berjangkit melalui darah.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata penyebaran penyakit berbahaya itu boleh menular apabila lintah sama yang menghisap darah pelanggan iaitu pembawa kuman, digunakan pula merawat pengguna lain. 

    “Kita memang tidak benarkan kaedah ini untuk rawatan kerana ia belum terbukti berkesan, termasuk tanggapan lintah menghisap darah kotor juga salah, tiada darah kotor dalam perubatan. 

    “Berhubung penyakit tibi, berkemungkinan besar seseorang itu boleh berjangkit kerana duduk bersebelahan ketika menjalankan rawatan itu, tidak semestinya oleh kuman dibawa lintah. 

    “Proses rawatan itu memang mampu memindahkan penyakit berbahaya yang berkaitan dengan darah ketika penggunaan lintah itu. Kesan gigitan lintah juga boleh melambatkan darah beku, ” katanya ketika mengulas kenyataan Pakar Dermatologi Hospital An-Nur, Dr Saadiah Sulaiman, kaedah rawatan berkenaan yang didakwa mampu menyembuhkan pelbagai penyakit serta mengeluarkan darah kotor, sebenarnya mendedahkan pelanggan kepada sejenis penyakit batuk kering (tibi) ganjil. 
    Dr Saadiah berkata, setakat ini dua pelanggan sudah berjumpa dengannya untuk mendapatkan rawatan susulan selepas dijangkiti penyakit itu akibat terapi terbabit. 

    Dr Hasan berkata, pada masa sama pengguna diminta memberikan maklumat berhubung pusat rawatan didakwa mampu menyebarkan penyakit terbabit supaya kementerian boleh mengambil tindakan selanjutnya. 

    “Beritahu kita maklumat di mana pusat rawatan didakwa menyebarkan penyakit tibi itu, kita akan pergi sana untuk ambil tindakan,” katanya.
    (sumber dari sini)

    Monday, February 6, 2012

    Gadis tipu ibu kena rogol

    Tags
    Empat remaja ditahan kes perlaku mangsa seperti hamba seks

    ARAU: Padah menipu ibu sendiri semata-mata untuk keluar bersama teman lelaki, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun diperlakukan seperti hamba seks apabila dirogol sekurang-kurangnya empat kali oleh empat lelaki berbeza dalam tempoh lima jam, minggu lalu.
    gambar hiasan
    Kejadian itu berlaku ketika mangsa dikatakan dibawa teman lelakinya yang berusia 17 tahun ke sebuah pondok di kawasan sawah padi di Ngulang dekat sini, kira-kira jam 8 malam, 30 Januari lalu, sebelum merogolnya.

    Selepas dirogol teman lelakinya, mangsa dikatakan dipaksa melayan nafsu tiga lagi suspek lain yang juga rakan kepada teman lelakinya sepanjang kira-kira lima jam berada di pondok berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu susulan laporan polis dibuat mangsa pada pagi 31 Januari lalu.

    Mengulas kes itu, beliau berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan memaklumkan kepada ibunya untuk ke pasar malam berdekatan rumah, sebelum melencong ke tempat lain bersama teman lelakinya.

    “Mangsa kemudian dibawa suspek ke sebuah pondok di Ngulang, sebelum dirogol. Sesudah itu, mangsa diserahkan pula kepada tiga yang lain yang turut merogolnya. 
    “Sebaik selesai, suspek menghantar mangsa ke kawasan rumahnya di Taman Firdaus, dekat Kangar, sebelum laporan dibuat di Balai Polis Arau berhubung kejadian itu.
    (sumber dari sini)

    “Hasil laporan itu, polis menahan empat lelaki berusia 17 hingga 22 tahun, Khamis lalu, termasuk teman lelaki mangsa untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Sementara itu, Mohd Nadzri berkata, sepanjang tempoh tiga hari bermula 31 Januari lalu, empat kes rogol dilaporkan berlaku di daerah ini, dengan tiga daripada mangsanya adalah gadis bawah umur.

    “Susulan itu, kita turut menahan tujuh lelaki untuk membantu siasatan dengan majoriti kes dikenal pasti berpunca daripada perkenalan melalui Facebook,” katanya. 

    Thursday, February 2, 2012

    Lambakan 13,000 guru Sains, Matematik

    Tags
    Pendidik mula terima kesan kekurangan pelajar sehingga terpaksa mengajar subjek lain 

    TANJUNG MALIM: Seramai 13,000 graduan mengajar Sains dan Matematik di seluruh negara mula menerima kesan penurunan pelajar mengambil jurusan sains sehingga ada yang terpaksa mengikuti latihan semula subjek lain.
    Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Kementerian Pelajaran perlu menghantar graduan ke universiti untuk dilatih kemahiran baru bagi mengelak berlaku pengangguran.

    “Kalau kita hantar mereka ke sekolah untuk mengajar Sains dan Matematik sedangkan pelajar tidak berminat, keadaan itu tidak wajar,” katanya pada sidang media selepas melawat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini semalam. 

    Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Rujhan Mustafa dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Tan Sri Abi Musa Assari Mohamed Nor. 

    Mohamed Khaled mengulas taklimat Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa yang berkata, berlaku lambakan 13,000 graduan Sains dan Matematik seluruh negara yang dihantar ke universiti itu untuk latihan semula. 

    Turut menyumbang masalah ialah perubahan dasar persaraan wajib penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun. 
    Bagaimanapun, Zakaria berkata, masalah itu tidak berlaku di UPSI berikutan usahanya menawarkan subjek minor seperti Sejarah kepada pelajar jurusan Sains dan Matematik bagi mengelak berlaku pembaziran tenaga pengajar. 

    Sebelum ini, akhbar ini melaporkan guru opsyen Matematik dan Sains terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh negara. 

    Mohamed Khaled pada amanat tahun barunya dilaporkan berkata, sejak 2007, peratus pelajar mengambil jurusan sains menurun sehingga 29 peratus tahun ini. 

    Keadaan itu berterusan ke peringkat universiti, jika berlanjutan boleh membantutkan usaha meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi. 

    Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, pihaknya bangga UPSI muncul universiti pertama menubuhkan sekolah makmal yang menempatkan sekolah bermula prasekolah sehingga Tingkatan Enam Atas di kawasan universiti. 

    Katanya, ketika ini 70 murid berpeluang mengikuti sesi belajar peringkat prasekolah dan pengambilan pertama murid Tahun Satu bermula sesi pengajian tahun depan, membabitkan 50 murid yang dibahagikan kepada dua kelas. 

    Katanya, pelaksanaan sekolah makmal ini adalah secara berperingkat dan apabila dilaksanakan sepenuhnya kemasukan keseluruhan pelajar adalah 600 orang.
    (sumber dari sini)