Thursday, February 9, 2012

Lintah tidak sebar penyakit

Tags

KUALA LUMPUR: Belum ada lagi kajian dilakukan menunjukkan lintah boleh menyebarkan penyakit kepada manusia melalui rawatan bekam termasuk penyakit batuk kering (tibi).
Doktor dan Koordinator Makmal, Unit Kesihatan Haiwan Akuatik, Fakulti Perubatan Vaterinar, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Hassan Mohd Daud berkata, kajian klinikal di luar negara termasuk Amerika Syarikat (AS) lintah boleh merawat penyakit seperti migrain serta resdung selain tidak memberi kesan sampingan melalui gigitannya.
“Kajian klinikal mengenai lintah belum dijalankan di negara ini, namun ia giat dilakukan di luar negara dan tiada kajian menunjukkan lintah mendatangkan mudarat kepada manusia, ” katanya, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kemungkinan lintah boleh menyebarkan penyakit melalui rawatan bekam lintah berikutan kenyataan pakar dermatologi Hospital An-Nur, Dr Saadiah Sulaiman yang didatangi dua pesakit dijangkiti batuk kering ganjil selepas mendapatkan rawatan bekam lintah.

Katanya, tidak mungkin lintah mampu menyebarkan penyakit tibi kerana ia hanya boleh berjangkit melalui udara dan kemungkinan lintah menyebarkan bakteria yang ada padanya amat rendah.

Bagaimanapun, katanya, pengusaha bekam lintah perlu memastikan lintah dikuarantin dan dibersihkan mengikut prosedur yang betul terlebih dulu sebelum digunakan terhadap pesakit.

Katanya, hasil analisis dijalankan terhadap lintah dikuarantin sehingga tiga minggu dengan kawalan suhu dan pH air yang betul menunjukkan hanya bakteria biasa ditemui pada usus dan mulut lintah turut ditemui di tanah dan air. 
“Dengan penggunaan bahan tertentu seperti kunyit dan halia, semua bakteria berbahaya terbunuh kerana dua bahan berkenaan mempunyai bahan antiseptik yang mampu membunuh dan merencatkan pertumbuhan bakteria,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mahu mendapatkan rawatan bekam lintah supaya memeriksa terlebih dulu prosedur kebersihan yang diambil pengusaha rawatan berkenaan.

“Pesakit perlu bijak memilih pusat rawatan termasuk mengenal pasti terlebih dulu tahap kebersihan dan kesihatan lintah yang digunakan, ” katanya.
(sumber dari sini)

1 comments so far

setuju.
ada bercanggah statement yang dikeluarkan sebelum ni tentang lintah.
padahal itu belum ada kajian pasti di negara ni yang menguji efek sebenar lintah ni.
jadi samada berita baik ke buruk,xleh ckp selagi blom di test di makmal dulu