Sunday, March 4, 2012

Cuti umum tidak dikurangkan

Tags

Pelaksanaan gaji minimum ambil kira semua aspek produktiviti

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang mengurangkan jumlah cuti umum apabila gaji minimum dilaksanakan tidak lama lagi kerana pelaksanaannya sudah mengambil kira aspek produktiviti, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
MUHYIDDIN beramah mesra dengan orang ramai selepas melancarkan Hari Buah Pinggang Sedunia 2012 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Timbalan Perdana Menteri berkata, produktiviti pekerja tetap perlu ditingkatkan bagi memastikan Malaysia setanding negara maju lain.

“Walaupun gaji minimum akan ditetapkan, semua pihak ada peranan masing-masing dalam memastikan ekonomi terus berkembang dan rakyat mendapat faedah daripadanya serta tidak bawa kesan yang boleh menjejaskan pertumbuhan negara.

“Itu kita ambil kira sebab kajian sudah dibuat agak mendalam sejak sekian lama,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2012 di Dataran Merdeka di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad dalam blognya, baru-baru ini yang mendakwa Malaysia boleh muflis jika gaji minimum dilaksanakan kerana terpaksa membayar lebih untuk kerja yang kurang selain mempunyai terlalu banyak cuti umum yang boleh menjejaskan produktiviti negara.

Muhyiddin berkata, butiran lanjut mengenai pelaksanaan gaji maksimum itu akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi. 
“Ia (gaji minimum) sudah dilaksanakan negara lain, memang kita percaya ada asas (untuk laksanakan) tapi kita buat bukan secara terburu-buru.

“Kerajaan akan ambil kira semua faktor termasuk kos hidup, inflasi dan perbezaan di wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung serta keupayaan majikan membayar, selain kesannya kepada ekonomi.

“Bila sampai masanya, kita akan jelaskan secara terperinci apa yang akan diputuskan kerajaan, Saya percaya kita harus menunggu. Kita sudah capai persetujuan dengan banyak pihak yang terbabit seperti majikan, pekerja dan Menteri Sumber Manusia sudah kemukakan cadangan. Sampai masanya yang sesuai tidak lama lagi ia akan diumumkan Perdana Menteri sendiri, tunggulah,” katanya.

Sementara itu, mengulas dakwaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa dasar penswastaan yang diamalkan kerajaan sebagai keuntungan penswastaan, kerugian bersosial, Muhyiddin berkata kerajaan ada asas dan pertimbangan dalam melaksanakan dasar itu.

Katanya, pelaksanaan dasar itu memberi impak yang baik kepada kehidupan rakyat, serta tidak dapat dielakkan kerana kerajaan mahu swasta memainkan lebih banyak peranan pada masa akan datang.
(sumber dari sini)