Friday, July 1, 2011

Kelahiran Dan Petua Selepas Bersalin

Tags


maklumat dari: famili2748


Tempuh berpantang adalah jangka masa untuk memulihkan semula tubuh badan dari segi kesihatan dan juga bentuk badan kembali kepada bentuk asal. Proses bersalin banyak menggunakan tenaga terutama semasa menahan kesakitan, dan ketika meneran bayi keluar, urat saraf ibu menjadi tegang dan kadang kala rasa kejang. Ada ibu yang mengalami kekurangan darah kerana banyak darah keluar semasa bersalin. Oleh itu, banyaklah pantang larang yang dikenakan orang tua kita dahulu kepada ibu-ibu lepas bersalin, ada yang wajar diikuti dan ada pula yang tidak larat diikuti oleh golongan muda sekarang. Di antara pantang larang daqn petua-petua menjaga badan dan kesihatan selepas bersalin diperturunkan di bawah.

1. Kawal pergerakan

* Ibu-ibu lepas bersalin dikehendaki mengawal pergerakan, tidak terlalu banyak bergerak, berjalan secara perlahan, tidak gopoh gapah kerana ditakuti tumpah darah.

* Ibu-ibu dikehendaki sentiasa menjaga kaki, memakai stoking dan jangan tersepak benda-benda keras kerana ditakuti bentan, membawa sakit hingga ke kepala dan meroyan serta lambat pulih kesihatan.

* Ibu-ibu hendaklah duduk secara merapatkan peha supaya dapat mengecilkan/mengecutkan vagina kembali kepada asal (barangkali kerana orang dulu-dulu bersalin di rumah dan mengharapkan luka baik sendiri tanpa sebarang jahitan)

Saya perhatikan pantang larang di atas sukar dipatuhi oleh ibu-ibu muda sekarang, mereka tidak mengawal pergerakan, tidak suka pakai stoking dengan alasan panas, cara duduk pun tidak dijaga/dikawal, malah ikut rasa selesa, mungkin kerana yakin dengan `treatment' yang diberikan oleh doktor-doktor pakar.

2. Jaga pemakanan

* minum air perahan kunyit hidup (mungkin untuk melancarkan perjalanan darah) setiap pagi selama beberapa hari (antara 3-7 hari) selepas bersalin.

* untuk cepat sembuh luka vagina, makan sup ikan haruan dengan banyakkan halia muda dan lada hitam.

* jangan atau kurangkan makan makanan bersantan dan berkanji seperti kuah kari dan pulut (mungkin kerana angin perut dan menambahkan kolestrol dalam badan, serta melambatkan proses menurunkan berat badan untuk kembali kepada bentuk asal)

* jangan makan sayuran yang bersifat sejuk dan menyebabkan angin perut (seperti kangkung, kacang panjang, labu air, kobis, terung, nangka muda, jantung pisang) dan buah-buahan yang bersifat masam (asidic) dan sejuk (seperti mempelam, limau dan lain-lain)

Saya masih ingat semasa ibu saya dalam pantang, dia tidak makan lauk berkuah, sebaliknya makan nasi panas dengan ikan bakar (yang disapu sedikit garam dan kunyit) serta ditaburkan serbuk lada hitam. Ibu saya juga makan 2 biji telur ayam kampung yang jadi masak apabila dibancuhkan bersama madu lebah asli. Badan sentiasa berpeluh kerana panas madu lebah dan lada hitam, muka kemerah-merahan (tidak pucat lesi)dan cepat pulih kesihatan.

3. Mandi Air Serung / Rebusan Herbal

* mandi setiap pagi dengan air rebusan daun-daun herba seperti mengkudu, kadok, pandan, serai wangi, kunyit, jambu batu, dan lain-lain serta dimasukkan juga asam keping, kulit kayu manis dan cengkih.

* atau lebih mudah sekarang ini boleh juga menggunakan bungkusan herba yang disediakan khas untuk direbus sebagai air mandian.

4. Berurut

* Selepas beberapa hari bersalin dan luka pada vagina dah sembuh, bolehlah diurut seluruh badan, antara 3 - 7 hari, kira-kira 1 jam setiap hari. Sebaik-baiknya berurut hendaklah pada waktu pagi, suasana masih segar dan sejuk.

* Tumpuan berurut juga kepada bahagian perut, untuk menaikkan rahim kembali ke tempat asal.

* Bolehlah diulang berurut mengikut keperluan, terutama jika ada rasa letih dan tegang urat saraf selepas menyusukan bayi. Boleh juga diulang berurut pada hari-hari ke 40 hingga 44, iaitu sebelum selesai berpantang, terutama untuk tujuan menaikkan (menyekak) peranakan.

5. Bertungku / bergagang

* Selepas berurut diikuti pula dengan bertungku, terutama di bahagian perut dan peranakan, untuk cepat kecutkan peranakan dan sekaligus mengempiskan perut ibu kembali kepada bentuk asal.

* Ada juga di antara ibu-ibu yang mengamalkan bergagang, iaitu dengan menjiruskan air ke atas tungku panas, kemudiaan selinkupkan kain sarung dan berkangkang di atasnya supaya wap panas dapat memanaskan vagina dan mengucutkan peranakan. Boleh juga menggunakan peralatan mandi wap seperti yang disediakn di pusat rawatan kecantikan/spa.

6. Berbengkung / barut perut

* Membarut perut/berbenkung dengan olehan campuran kapur sirih dan limau nipis selama antara 3 hingga 7 hari pertama selepas bersalin. Campuran ini cepat mengecutkan peranakan dan mengmpiskan perut. Ada ibu-ibu yang menggunakan ragi untuk tujuan ini.

* Selepas berurut, bertungku dan bergagang, maka perut bolehlah di barut dengan olehan bancuhan herba rawatan bersalin. Ini banyak dijual dalam pasaran dengan berbagai jenama.

7. Bersalai / Berdiang

* bersalai/berdiang bermaksud tidur di atas salain atau katil yang diletakkan bara api di bawahnya. Katil biasanya ditinggikan supaya tidak terlalu dekat dengan bara api.

* bersalai/berdiang biasanya dibuat pada waktu pagi ketika cuaca sejuk dengan tujuan untuk memanaskan badan dan mengeluarkan peluh, cepat mengecutkan peranakan dan mengempiskan perut. Bila bersalai, ibu-ibu akan merasa haus dan banyak minum air, dengan itu dapat dikeluarkan toksin dari badan dan ibu-ibu akan cepat merasa sihat.

* bersalai/berdiang sekarang ini bolehlah dibuat di atas tilam b-ion, iaitu tilam yang ada batu-batu jade dan dipanaskan dengan kuasa letrik.

8. Menyapu pilis

* menyapu pilis pada dahi, untuk menyejukkan bahagian kepala dan mencerahkan mata, serta mengelakkan dari sakit kepala yang mungkin boleh menyebabkan meroyan.

* pilis biasanya boleh didapti bersama pakej herba/jamu bersalin. Pilis juga boleh dibuat sendiri, iaitu dengan memarut halus jambu batu muda dicampurkan dengan bedak sejuk dan air mawar.

9. Memakan Jamu bersalin / Minum Air Rebusan Akar Kayu (Ubat Periuk)

* Ibu-ibu dahulu biasanya mengamalkan meminum air rebusan akar kayu (ubat periuk) yang disediakan oleh bidan/bomoh kampung.

* Ibu-ibu sekarang boleh memilih banyak alternatif Jamu Bersalin yang bersesuaian untuk diamalkan.

10. Memanjangkan tempuh berpantang

* Orang-tua dahulu biasanya melanjutkan tempuh berpantang kepada ibu-ibu lepas bersalin sehingga ke seratus hari, terutama untuk tujuan kembali mengadakan hubungan sex dengan suami, supaya dapat memastikan badan benar-benar pulih dan sihat, memerhatikan kitaran haid yang betul bagi membolehkan merancang keluarga dan mengambil precaution kehamilan.

Semoga ibu-ibu muda atau bakal-bakal ibu dapat mempelajari sesuatu daripada petua-petua yang dicatatkan ini. Rasa-rasanya ini sajalah yang dapat saya perturunkan, mungkin ada yang dah lupa, sebab berpantang saya yang terakhir adalah 19 tahun yang lalu.