Friday, July 1, 2011

Sikap anak

Tags


Sikap anak faktor utama jamin kecemerlangan
Oleh Rosnah Ahmad


IBU bapa mahukan anak cemerlang. Islam sangat menekankan supaya umatnya menjadi insan dan masyarakat cemerlang. Justeru, sunat diperdengarkan azan pada telinga kanan dan iqamah pada telinga kiri kepada setiap anak yang baru lahir.

Ia bertujuan memperdengarkan kalimah tauhid yang suci dan menjadikan seruan serta inti pati azan itu suara pertama yang didengari dalam hidup mereka. Inti pati azan, seruan tauhid dan ucapan `hayya ala falah', konsep kecemerlangan sering digandingkan agar setiap individu
mentauhidkan Allah dulu, kemudian memburu kecemerlangan serta kejayaan.

Anak adalah amanah Allah. Rasulullah bersabda, maksudnya: "Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah (bertauhid), maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibu bapa adalah pendidik dan rumah pula adalah madrasah pertama bagi anak-anak. Pepatah ada menyatakan `jika hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya'.

Tanggungjawab ibu bapa sangat besar dalam mengasuh dan memberikan pendidikan berkualiti kepada anak-anak sejak mereka lahir. Oleh itu, ibu bapa perlu mempunyai ilmu keibubapaan dalam pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak. Ia penting bagi memastikan anak-anak
mendapat asuhan dan pendidikan seimbang.

Asuhan dan pendidikan awal adalah khusus kepada kanak-kanak di bawah umur enam tahun. Pada umur ini ada dua perkara penting yang dilalui oleh setiap kanak-kanak iaitu pertumbuhan dan perkembangan.

Pertumbuhan adalah perubahan yang boleh diukur daripada satu peringkat ke satu peringkat dan dari suatu masa ke suatu masa seperti perubahan tinggi, berat dan bilangan gigi.

Perkembangan pula adalah perubahan yang melihatkan sifat berlainan daripada sifat terdahulu seperti kebolehan seorang bayi untuk merangkak, berjalan, dan seterusnya berlari.

Perkembangan kanak-kanak mestilah digalak dan disokong secara menyeluruh. Ia dinamakan perkembangan menyeluruh dan dibahagikan kepada aspek perkembangan rohani, fizikal, emosi, akal (kognitif) dan bahasa.

Perkembangan rohani adalah perkara asas dalam pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak. Perkara ini kerap diabaikan dalam banyak teori pendidikan Barat. Tugas ibu bapa untuk melahirkan anak yang memiliki sahsiah soleh dan mampu melakukan amal soleh bersesuaian
dengan tahap umur kanak-kanak. Anak-anak perlu diasuh dan dididik dengan akidah (iman), syariat (peraturan) dan akhlak mulia .

Keperibadian anak-anak mestilah dibina dengan asas Islam berdasarkan akidah dan syariat yang ditetapkan Allah. Ini lebih jelas apabila merujuk kepada al-Quran. Firman-Nya bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahku." – (Surah Az Zariat, ayat 56)

Ibu bapa wajib membiasakan anak mereka berakhlak Islam. Contohilah akhlak Rasulullah dan cara baginda dalam memberikan pelajaran akhlak secara praktis.

Di antara akhlak penting untuk ibu bapa ajarkan kepada anak mereka adalah menghormati ibu bapa, berlaku benar, sabar, kasih sayang, merendah diri dan menghormati jiran.

Untuk melahirkan anak cemerlang ibu bapa mesti mengetahui tahap perkembangan menyeluruh kanak-kanak yang berubah dengan pesat pada peringkat awal berbanding kehidupan mereka selepas ini. Mereka akan melalui tahap perkembangan mengikut umur, kebolehan, pengalaman, minat dan keperluan masing-masing.

Semua kanak-kanak akan melalui corak perkembangan sama iaitu daripada satu tahap ke satu tahap yang lain. Misalnya, kanak-kanak berdiri sebelum berjalan.

Bagaimanapun, kemampuan dan kecekapan mereka berbeza. Ada kalanya lambat dan cepat. Perkembangan yang berlaku pada satu tahap juga akan mempengaruhi tahap seterusnya. Misalnya ketegangan emosi pada peringkat awal akan mengganggu sahsiah kanak-kanak pada kemudian hari.

Mengetahui tahap perkembangan kanak-kanak akan menjadikan ibu bapa lebih sedar dan fokus dalam menyediakan persekitaran, kegiatan dan rangsangan yang sesuai dengan kebolehan dan kesediaan anak mereka.

Menurut kajian Harvard Business School, faktor yang paling penting untuk menentukan kejayaan adalah sikap. Sikap menyumbang 93 peratus kepada kejayaan seseorang. Ini berbanding ilmu pengetahuan, maklumat serta kemahiran hanya tujuh peratus.

Bermain adalah cara paling berkesan untuk kita membangun dan memantapkan perkembangan menyeluruh yang seimbang dalam diri anak- anak.

Justeru, ibu bapa seharusnya membuat anjakan paradigma dalam diri mereka supaya suka bermain dengan anak-anak seperti yang dipesan oleh Saidina Ali: "Bermain-mainlah dengan anakmu sehingga dia mencapai tujuh tahun. Kemudian disiplinkan mereka selama tujuh tahun, kemudian
berkawan selama tujuh tahun dan selepas itu anggaplah mereka sebagai seorang dewasa."

Kanak-kanak pada peringkat awal sangat mudah meniru apa saja di keliling mereka. Mereka lebih banyak belajar dengan melihat apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Ibu bapa adalah 'role model' kepada anak mereka. Pastikan akhlak ibu bapa dan persekitaran yang disediakan akan menggalak dan menyokong semua aspek perkembangan yang positif dalam diri anak-anak.