KOTA BHARU: Seorang murid Tahun Satu maut selepas kepalanya tertembak ketika dia bermain-main dengan pistol jenis Walther P9S milik bapa saudaranya, seorang anggota polis, di Ketereh, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa, Muhammad Faris Faizal Noor Hisham, 7, dipercayai menemui pistol yang disorok di bawah meja ketika bapa saudaranya ke masjid untuk solat Isyak.
Mangsa dipercayai bermainmain dengan pistol yang disangkanya mainan sebelum meletup dan terkena kepalanya.
Pistol itu disorokkan di bawah meja tetapi mangsa terjumpa, mungkin dia beranggapan ia adalah pistol mainan. Kanak-kanak berkenaan terkena satu tembakan di kepala dan bedah siasat menyatakan dia meninggal kerana tertembak. - Datuk Jalaluddin Abd Rahman, Ketua Polis KelantanPeluru yang dipercayai menembusi kepala mangsa turut mengenai bapa saudaranya, Mohd Helmi Ghazali, 31, yang berada berdekatan. Helmi yang cedera di dada dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu dan keadaannya dilaporkan stabil.
Kejadian berlaku di rumah nenek mangsa, Norizan Abd Wahab, selepas majlis perkahwinan ibu saudaranya dan pada masa sama keluarga mangsa meraikan hari lahirnya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd Rahman, berkata senjata berkenaan adalah milik anggota polis yang berkhidmat di sebuah negeri dan sedang bercuti untuk menghadiri majlis perkahwinan itu.
“Pistol itu disorokkan di bawah meja tetapi mangsa terjumpa, mungkin dia beranggapan ia adalah pistol mainan. Kanak-kanak berkenaan terkena satu tembakan di kepala dan bedah siasat menyatakan dia meninggal kerana tertembak.
“Kita sudah menahan anggota polis berkenaan dan menyiasatnya dari kontinjen mana. Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu cuai menyebabkan kematian,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Ibu mangsa, Fadhilah Rifa'in, 27, berkata dia dan anaknya datang ke Ketereh untuk menghadiri majlis perkahwinan adiknya, Syakirah Rifa'in dan menyambut hari lahir arwah bersama ahli keluarga lain.
Fadhilah berkata, dia terkejut mendengar dentuman kuat ketika berada di luar rumah untuk mengemas meja dan kerusi sementara menunggu pembekal khemah datang mengambil barangan disewa.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat, saya masuk ke dalam rumah dan tergamam melihat keadaan Muhammad Faris terbaring di lantai. Keadaan lebih kelam-kabut apabila seorang lagi ahli keluarga kami meraung akibat cedera di dada,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Fadhilah, guru Yayasan Islam Kelantan di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Al-Falah di Pasir Mas, berkata anaknya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Ketereh, namun meninggal dunia dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ketereh, petang semalam.
Ibu saudara arwah, Nor Ain Farhana Yasin, 15, yang ketika itu memasak gulai di dapur terkejut melihat darah memancut di kepala mangsa.
“Saya tergamam tak boleh nak kata apa sebelum ahli keluarga lain membantu abang ipar saya (Helmi) dan anak saudara saya,” katanya.
(sumber dari sini)