Wednesday, May 23, 2012

RM500 juta diperuntukkan kepada PTPK setiap tahun

Tags

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia memperuntukkan RM500 juta setiap tahun kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi membiayai latihan kemahiran belia dan pekerja. 
Timbalan Menterinya, Datuk Maznah Mazlan, berkata RM300 juta adalah pinjaman latihan kemahiran PTPK khusus bagi lepasan sekolah yang mengikuti Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia manakala RM100 juta untuk golongan pekerja meningkatkan kemahiran.

"Selebihnya, RM100 juta lagi disalurkan kepada Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri dalam bentuk geran bagi melaksanakan pelbagai program kemahiran untuk golongan belia di negeri masing-masing," katanya pada majlis penyerahan zakat berjumlah RM200,000 kepada Pusat Pungutan Zakat dan penyampaian cek kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PTPK 2011 di sini, hari ini.

Sejak tabung itu diperkenalkan pada 2001, lebih 200,000 pelajar mendapat manfaat pembiayaan iaitu antara RM750 dan RM24,000 bagi golongan pekerja manakala RM4,000 hingga RM24,000 bagi lepasan sekolah bergantung kepada program serta tahap latihan diikuti. 

“Kira-kira 58 peratus daripada peminjam membayar balik pinjaman mereka setiap tahun dan setakat ini tindakan saman dikenakan terhadap kira-kira 300 peminjam kerana tidak membayar semula pinjaman mereka," katanya. - BERNAMA
(sumber dari sini)