Sunday, June 10, 2012

Gaji, pangkat sebab bukan Melayu kurang minat sertai sektor awam

Tags

KUALA LUMPUR: Gaji dan pangkat adalah antara sebab utama mengapa bukan Melayu kurang berminat menyertai sektor awam, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman. 

Beliau berkata, bukan Melayu khususnya kaum Cina mahukan gaji yang tinggi dan terus menjawat jawatan yang bertaraf pegawai bila menyertai sektor awam.

"Mereka ini (bukan Melayu) banyak berkelulusan tinggi yang nak terus dapat jawatan dan gaji tinggi. "Mereka juga melihat sektor awam sebagai tempat yang agak terhad bagi mereka untuk kenaikan pangkat dan gaji," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas laporan berkaitan kurangnya penyertaan kaum Cina dalam sektor awam.

Sebuah akhbar berbahasa Mandarin, Oriental Daily pada Khamis lepas melaporkan memetik kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mahmood Adam bahawa lebih 1.12 juta permohonan sebagai penjawat awam diterima tahun lepas dan hanya 2.1 peratus terdiri daripada pemohon berbangsa Cina. 

Osman berkata, proses kenaikan pangkat yang mengambil masa yang lama turut menjadi punca bukan Melayu kurang berminat menceburi sektor awam. 

"Misalnya, sesetengah daripada mereka yang merungut tidak diberi peluang dinaikkan pangkat walaupun sudah lebih daripada 10 tahun berkhidmat dan terpaksa mengambil peperiksaan serta menghadiri kursus yang banyak. 
"Ini adalah syarat untuk kenaikan pangkat sektor awam, mereka sepatutnya memahaminya dengan memberikan kerjasama mematuhi arahan yang sudah ditetapkan dalam sektor awam dan bukannya melepaskan peluang begitu sahaja," katanya. 

Beliau berkata, faktor kurangnya minat bukan Melayu menyertai sektor awam boleh dilihat dengan jelas apabila bilangan pemohon bukan Melayu khususnya kaum Cina menyertai pasukan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sangat kecil. 

"Malah, kita boleh lihat pada masa sekarang jarang sekali masyarakat Cina yang berkecimpung dalam pasukan beruniform kerana menganggap skop pekerjaan yang susah dan gaji yang sedikit," katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tang Ah Chai berkata, golongan Cina tidak berminat menyertai sektor awam kerana tidak memahami skop perkhidmatan dan mempunyai pandangan negatif terhadap sektor berkenaan. - BERNAMA
(sumber dari sini)