Friday, June 15, 2012

PTPTN tarik balik penangguhan

Tags

UNISEL rayu pembiayaan, akui tak sedia beri pendidikan percuma

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menarik balik penangguhan pinjaman kepada pelajar Universiti Selangor (UNISEL) selepas menerima rayuan pengurusan universiti berkenaan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata surat rayuan kepada beliau itu antara lain memaklumkan UNISEL yang dimiliki kerajaan Selangor masih memerlukan PTPTN dan belum bersedia memperkenalkan pendidikan percuma untuk pelajarnya.

“Selepas meneliti surat rayuan Naib Canselornya dan selain menimbang nasib pelajar, penangguhan pembiayaan ditarik balik,” katanya semalam.

Mohamed Khaled juga menjelaskan penangguhan pembiayaan PTPTN hanya bersifat sementara kerana PTPTN memerlukan masa untuk mengkaji implikasi berhubung cadangan dan gesaan memperkenalkan pendidikan percuma.

Sebelum ini PTPTN menangguhkan sementara pinjaman kepada pelajar UNISEL selepas beranggapan universiti yang dimiliki Kerajaan Selangor seperti UNISEL dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) bersedia serta komited untuk memberikan pendidikan percuma kepada pelajar, sekali gus menolak pinjaman PTPTN.

Sementara itu Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohd Said, berkata penarikan balik dibuat selepas mengambil kira kesan terhadap pelajar yang terpaksa berdepan masalah kewangan jika gagal mendapatkan pinjaman. 
“Saya menerima panggilan telefon daripada ibu bapa yang merayu pinjaman diteruskan kerana akan ada pelajar terpaksa menamatkan pengajian atau melakukan kerja sambilan kerana ketiadaan pembiayaan.

“Justeru, kami bersimpati nasib mereka dan mengambil keputusan untuk menarik balik penangguhan ini bagi membolehkan pelajar meneruskan pengajian tanpa sebarang masalah kewangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau juga berkata, tindakan itu memberi peluang kepada kerajaan pakatan pembangkang membuktikan kemampuan memberikan pendidikan percuma.
(sumber dari sini)