KUCHING: Sarawak diberi kelonggaran untuk menggunakan perkhidmatan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) bagi mengisi kekosongan guru di sekolah sementara menunggu penempatan Guru Sandaran Siswazah Terlatih (INTERIM).
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, ia ekoran kelulusan daripada Kementerian Pendidikan mengenai permohonan kelonggaran khasnya di Sarawak.
Menurut beliau, selepas pekeliling dikeluarkan pada 2011 untuk menghentikan penyerapan GSTT yang digantikan dengan guru INTERIM, Sarawak berdepan kekurangan guru yang se-rius.
“Bagaimanapun, ada di kalangan guru INTERIM enggan ditempatkan meskipun mereka belum mendapat penempatan dan pada masa yang sama, kita tidak dapat menggunakan khidmat GSTT.
“Maka berlaku kekosongan guru yang mana akan memaksa guru sedia ada di sekolah berkaitan mengajar lebih daripada tugasan mereka,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Fatimah menegaskan, masalah dihadapi Sarawak yang berbeza dengan negeri-negeri lain menyebabkan kelonggaran dari segi penyerapan GSTT harus diberikan.
“Kita memohon kelonggaran ini, iaitu sekolah yang mempunyai kekosongan boleh mengambil GSTT se-hingga kementerian menghantar guru dan ia telah diluluskan khas untuk Sarawak,” jelasnya.
Fatimah sebelum ini pernah mencadangkan agar Sarawak diberi kelonggaran untuk melantik semula GSTT bagi menangani masalah kekurangan guru.
Mengenai pengumuman Kementerian Pendidikan akan menyelesaikan isu pertukaran guru bertugas di Sara-wak dan Sabah dengan me-latih lebih ramai anak tempatan, Fatimah berkata ia langkah wajar dan menjadi isu utama sejak dahulu lagi.
“Kita amat gembira mengenai perkara ini, namun kita berharap ia juga akan diterjemahkan dalam tindakan atau pelaksanaan.
“Ini kerana apa yang pen-ting adalah mereka yang diambil betul-betul berkualiti demi melahirkan modal insan berkualiti,” katanya.
Semalam, Bernama dipetik sebagai berkata, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh memberitahu kementerian akan menyelesaikan isu pertukaran guru bertugas di Sarawak dan Sabah ke Semenanjung de-ngan melatih lebih ramai anak tempatan.
“Dengan adanya lebih ramai guru dari Sabah dan Sarawak, kita akan dapat mengatasi isu perpindahan terlalu ramai guru di sana yang ingin balik bertugas di Semenanjung.
“Pengambilan baharu untuk melatih guru dari Sabah dan Sarawak akan dibuat tahun depan,” kata Idris.
Utusan Borneo, sumber http://www.pengajar.info
--------------------------------------------------------------------------------------
PINDAH BERSYARAT-MENTERI PENDIDIKAN
Sungai Buloh: Kementerian Pendidikan menawarkan peluang bersyarat kepada guru dari Semenanjung, yang kini mengajar di Sabah dan Sarawak untuk pulang bertugas ke negeri pilihan, mulai Januari tahun depan.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata tawaran sama juga dibuka kepada guru dari kedua-dua negeri itu, yang sedang bertugas di Semenanjung, tetapi berminat kembali berkhidmat di kampung halaman masing-masing. Kajian terperinci “Kita membuat kajian terperinci dan mencari mekanisme terbaik bagi memastikan guru tiada masalah besar menjalankan tugasan di lokasi mereka ditempatkan.
“Bagaimanapun, melalui kajian sama, kita menetapkan beberapa faktor melayakkan permohonan guru untuk bertukar sekolah seperti pasangan suami atau isteri bertugas di negeri berbeza dan sudah mengajar di sesuatu kawasan terlalu lama. “Kajian dan mekanisme ini penting kerana kita banyak menerima permohonan pertukaran daripada guru, terutama yang berasal dari Semenanjung dan kini mengajar di Sabah atau Sarawak untuk pulang ke negeri asal masing-masing,” katanya kepada BH.
Sementara itu, mengulas isu sama pada sidang media selepas Majlis Sarapan Bersama Ibu Bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, di sini, semalam, Idris berkata, tawaran itu turut membolehkan mana-mana guru untuk mengajar di negeri lebih jauh, mengikut pilihan masing-masing sama ada di sekolah Semenanjung atau Sabah dan Sarawak.
Pada majlis sama, Idris turut mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada SK Seri Pristana bagi menaik taraf infrastruktur dan keperluan sekolah berkenaan.Tiada isu kontroversiBeliau turut mengadakan lawatan ke bilik persalinan sekolah terbabit yang mencetuskan kontroversi pada Ramadan lalu berikutan pengurusan sekolah dikata mengarahkan murid bukan Islam makan pada waktu rehat di situ, yang didakwa adalah tandas.Mengulas isu berkenaan, Idris berkata, hasil pemeriksaan dan pemerhatian dijalankan beberapa pihak mendapati dakwaan itu tidak tepat kerana bilik dimaksudkan bukan tandas, malah ia juga dalam keadaan bersih.
“Kunjungan saya hari ini (semalam) turut mendapati kantin yang dibaik pulih pada bulan puasa lalu sudah beroperasi semula, jadi saya anggap kontroversi ini sudah tamat” katanya.-BERITA HARIAN
-----------------------------------------------------------------------------------
Graduan DPLI GSTT di panggil temuduga hujung bulan ini
Keresahan graduan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang tamat pengajian Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) pada pertengahan tahun ini terurai selepas Kementerian Pendidikan menjawab segala kontroversi melanda kumpulan itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad, berkata graduan DPLI GSTT itu akan dipanggil temuduga bermula hujung bulan ini dan dijangka isu penempatan ke sekolah masing-masing akan dapat diselesaikan menjelang hujung tahun ini.
"Kita sudah mengenalpasti jumlah graduan DPLI GSTT dan pihak kami menyalurkan maklumat itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk diproses ke peringkat pengambilan dan seterusnya dipanggil untuk ditemuduga yang akan dikelola oleh SPP pada hujung bulan ini.
"Kementerian berharap surat tawaran akan dapat diberikan sebelum Disember. Kita minta SPP untuk gemblengkan tenaga tetapi itu semua bergantung kepada kapasiti. Jika semuanya berjalan lancar, isu penempatan graduan itu dapat diselesaikan sebelum hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider baru-baru ini.
The Malaysian Insider melaporkan pada Jumaat mengenai graduan berkenaan yang masih belum mendapat pejelasan Kementerian Pendidikan mengenai penempatan semula tempat mengajar terutama apabila ada antara mereka yang berusia 35 tahun pada tahun ini dikhuatiri tidak mendapat skim pencen kerajaan ekoran kurang tahun perkhidmatan.
Apabila ditanya adakah penempatan guru berkenaan mengikut alamat pasangan suami atau isteri masing-masing, beliau berkata: “Lokasi penempatan sedang dilihat semula kerana ia adalah satu proses berterusan dan pihak kami akan mencuba sebaik mungkin."
Sementara itu, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh meminta graduan berkenaan bersabar dan menunggu giliran untuk dipanggil kerana Kementerian Pendidikan kini dalam proses menilai semula graduan dan mereka yang lama menunggu untuk ditempatkan di sekolah kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa ditemui media merasmikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) berkata, masalah penempatan graduan DPLI GSTT adalah disebabkan guru yang sepatutnya berpencen masih belum ditamatkan perkhidmatan mengajar di sekolah kerajaan.
Katanya, masalah itu mengakibatkan perancangan Kementerian Pendidikan untuk menyerap kemasukan graduan berkenaan tergendala.
“Polisi kerajaan membenarkan seorang guru berkhidmat sehingga 60 tahun tetapi masalah DPLI GSTT ini, kita akan lihat semula dan nama graduan berkenaan masih ada dalam sistem kementerian,” katanya selaku orang nombor satu di Kementerian Pendidikan yang masih belum dapat memberi kata putus berhubung masalah ini.
Antara isu yang menjadi perhatian graduan DPLI GSTT ini ialah pengangguran serta terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi dan bebanan hutang.
Mereka juga bimbang jika keputusan penempatan nanti terpaksa ditempatkan di Sabah atau Sarawak yang terpaksa berjauhan dengan suami dan keluarga.
“Kami juga terpaksa sentiasa berjaga-jaga menunggu panggilan kementerian menyebabkan kebanyakan masih belum bekerja. Apa yang dikhuatiri ialah tempoh bekerja kami yang singkat nanti akan memberi masalah lain kepada syarikat terbabit,” kata seorang graduan.
Selain itu, kebanjiran graduan jurusan Perdagangan yang dikhuatiri gagal mendapat penempatan di sekolah menengah kerajaan ekoran subjek itu adalah mata pelajaran elektif di sekolah.
Seorang graduan bidang sama yang mahu dikenali sebagai Shikin, 31, berkata kelewatan tersebut menyebabkan ramai yang menuduh kerajaan kini berdepan krisis kewangan.
Katanya, kumpulan graduan itu tidak wajar dipinggirkan kerana mereka mempunyai pengalaman mengajar sekurang-kurangnya dua tahun malah ada di antara mereka pernah berkhidmat sebagai GSTT selama lima tahun.
Ahli Parlimen Serdang dari parti DAP, Dr Ong Kian Ming turut bersimpati dengan graduan tersebut sambil menyifatkan graduan DPLI GSTT yang masih belum diberikan tempat mengajar adalah pembaziran dana kerajaan.
Katanya, graduan diberikan elaun RM1,300 sebulan selama 18 bulan menjadi pembaziran dana kerajaan apabila mereka masih belum mendapat tempat di sekolah kerajaan.
Beliau berkata, disebabkan penangguhan ini, ramai graduan yang masih belum mendapat pekerjaan dan tertunggu-tunggu panggilan oleh Kementerian Pendidikan. - 17 September, 2013.