Monday, May 7, 2012

Kadar gaji minimum dapat tarik ramai wanita bekerja di hotel, restoran

Tags

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kadar gaji minimum bagi sektor swasta mampu menarik pekerja tempatan terutama wanita untuk bekerja di subsektor perkhidmatan hotel dan restoran, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini. 

Gambar Hiasan

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata kerajaan yakin usaha itu juga dapat mengimbangi jumlah pekerja tempatan dengan pekerja asing di subsektor tersebut.



Berdasarkan Laporan Penyata Guna Tenaga Kebangsaan 2009, jumlah pekerja tempatan yang bekerja di hotel dan restoran di seluruh negara ialah 150,043 dan daripada jumlah itu 75,483 lelaki dan 74,560 pekerja wanita.



"Pekerja asing di subsektor ini pula ialah 25,287 orang dengan 18,511 adalah pekerja lelaki manakala 6,776 lagi pekerja wanita," katanya menjawab soalan Senator S Bagiam Ayem Perumal. 

Maznah berkata, langkah lain yang diambil oleh kementerian untuk menarik minat warga tempatan terutama wanita menyertai sektor itu ialah menggalakkan pengusaha restoran menyediakan tempat kerja yang kondusif selain memperkenalkan jadual waktu kerja anjal. 

Majikan di subsektor hotel dan restoran turut digalak meningkatkan kemudahan sokongan supaya lebih ramai wanita keluar bekerja seperti mengadakan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja selain memperkenalkan peraturan separa waktu. 

Bagaimanapun Maznah berkata, jika terdapat majikan yang tidak dapat mewujudkan kemudahan tersebut atas beberapa alasan, kementerian sedia berunding dan memberi bimbingan. 
"Walaupun ada peraturan supaya majikan sediakan tempat, tapi ada masanya persekitaran tidak mengizinkan majikan untuk bina di tempat kerja. Jadi kita runding supaya adakan kemudahan itu di tempat lain," katanya. - BERNAMA
(sumber dari sini)