Tuesday, May 8, 2012

RM 15,000 untuk setiap keluarga Felda

Tags

Durian runtuh dibayar 3 kali

Pemilikan saham, tambahan bantuan dana Yayasan FELDA ditawar

JERANTUT: Khemah tempat perhimpunan peneroka FELDA di Jengka 8 di sini, semalam, bergemuruh dengan tepukan dan laungan gembira peneroka ketika Datuk Seri Najib Razak mengumumkan durian runtuh RM15,000 kepada setiap keluarga.
Ada antara 40,000 peneroka secara spontan menadah tangan berdoa dan menitiskan air mata sejurus Perdana Menteri mengumumkan bayaran masing-masing RM5,000 kepada ketua keluarga, isteri dan generasi kedua mereka.
gambar hiasan
Malah, ramai isteri peneroka seperti tidak percaya mendapat perhatian khusus Perdana Menteri berikutan pengumuman pemberian RM5,000 kepada mereka sehingga terpaksa diyakinkan rakan.

Ketika mengumumkannya sempena program Sejahtera Peneroka Bersama Perdana Menteri itu, Najib berkata, kerajaan memperuntukkan dana RM1.689 bilion untuk diagihkan secara tunai kepada 112,635 keluarga peneroka yang akan dibayar dalam tiga fasa.

Pembayaran fasa pertama RM5,000 untuk setiap ketua keluarga akan dilaksanakan tidak lama lagi, diikuti fasa kedua sebanyak RM5,000 untuk isteri peneroka bagi mengiktiraf sumbangan mereka yang dibuat sejurus bayaran fasa pertama selesai. 

Bayaran RM5,000 lagi akan diagihkan kepada anak peneroka yang dijangka dilaksanakan selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di Bursa Malaysia, bulan depan. Selain itu, kira-kira 20,000 pegawai dan kakitangan Kumpulan FELDA akan menerima bonus tambahan dua setengah bulan gaji tahun ini. 
Perdana Menteri berkata, durian runtuh itu secara keseluruhannya bukan saja untuk menghargai sumbangan peneroka dan keluarga mereka membangunkan negara, malah warga kerja FELDA.
Beliau juga mengumumkan tabung amanah khas yang membolehkan peneroka menikmati faedah pembayaran dividen berdasar keuntungan FGVH di Bursa Malaysia kelak kerana tabung itu memegang 20 peratus ekuiti dalam FGVH. 

“Kita tawarkan juga ‘pink form’ untuk pemilikan saham dan tambahan RM5,000 bantuan dana Yayasan FELDA bagi membantu program baik pulih kampung lama dan tradisional sekitar tanah rancangan FELDA.

“Contohnya, mengikut unjuran jika FGVH untung RM1.5 bilion tahun depan, maka peneroka bakal menerima dividen kira-kira RM1,300 setiap seorang. Jika untung lebih, peneroka dapat lebih,” katanya dalam ucapan disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Hadir sama Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Najib juga berkata, durian runtuh itu amat bermakna kepada peneroka yang banyak berkorban membuka dan memajukan kawasan hutan sebagai tanah rancangan dan penempatan berkelompok.

“FELDA yang bermula di Lurah Bilut, Pahang pada 1956,  kini memasuki fasa terakhir abad ke-21 yang bukan lagi bertatih, tetapi mampu berdiri dan gagah perkasa di pentas ekonomi dunia,” katanya.
Pada sidang media kemudian, Najib berkata, bayaran tunai untuk fasa pertama akan selesaikan dalam masa dua hingga tiga minggu dan FELDA akan menyelaraskan agihan menerusi jenteranya dan wakil rakyat yang akan selesai kira-kira tiga minggu akan datang.

“Fasa kedua saya akan umumkan sebaik selesai bayaran fasa pertama dan diikuti fasa ketiga kemungkinan selepas penyenaraian FGVH. Pendekatan bayaran dibuat sama seperti bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Bonus untuk kakitangan Kumpulan Felda juga dibuat secepat mungkin,” katanya.

Berhubung tawaran ‘pink form’, Perdana Menteri mengingatkan peneroka tidak menjualnya kerana ia akan memberi lebih banyak keuntungan dalam tempoh jangka panjang.
(sumber dari sini)