Friday, May 25, 2012

Kerajaan perlu belanja RM1 bilion setahun jika wajib lepasan SPM sertai PLKN

Tags

BAGAN DATOH: Kerajaan perlu membelanjakan hampir RM1 bilion setahun jika mahu mewajibkan semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 
Katanya, peruntukan sebanyak itu diperlukan kerana bilangan kelompok itu mencecah 500,000 orang berbanding 120,000 peserta yang dilatih di 80 kem seluruh negara ketika ini dengan peruntukan RM260 juta.

Justeru, beliau berkata sebarang keputusan mengenai cadangan untuk mewajibkan lepasan sekolah menengah menyertai PLKN perlu diperhalusi dan hanya dapat diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kabinet.

"Cadangan ini harus diteliti dengan sebaik-baiknya dan jika pihak kerajaan bersetuju, kita akan mencari jalan untuk memenuhi kehendak itu demi kepentingan negara. 

"Pelaksanaan cadangan ini (jika boleh dilaksanakan), paling awal pengambilannya hanya boleh dibuat tahun depan kerana kita harus menyediakan infrastruktur terutama menyediakan kem kerana jumlah yang sedia ada tidak mampu (menampung kemasukan pelatih lebih ramai)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gempur Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) di Simpang Tiga di sini, hari ini. 

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Dr Tiki Lafe bawaha majlis itu akan mencadangkan kepada kerajaan supaya mewajibkan kesemua pelajar lepasan SPM serta remaja yang berusia 18 tahun menyertai PLKN kerana program itu berjaya dalam mendisiplinkan golongan remaja yang menyertainya.
(sumber dari sini)