Wednesday, January 4, 2012

Demonstrasi di UPSI dedah sisi gelap siswa

Tags

KERAJAAN sudah mengumumkan untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi membolehkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) membabitkan diri dalam politik. Namun, anehnya masih ada mahasiswa berdemonstrasi menuntut kebebasan bersuara. Apakah sebenarnya diinginkan golongan ini? 
Gambar Hiasan
Sepatutnya isu pindaan AUKU tidak timbul lagi kerana keputusan sudah dibuat kerajaan. Tindakan melampau mahasiswa yang dikatakan dari IPT di sekitar Lembah Klang di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini menuntut AUKU dimansuhkan memang keterlaluan serta bertentangan dengan matlamat melanjutkan pengajian di menara gading.
Tindakan berbaring di atas jalan, mengganggu lalu lintas dan ingkar arahan polis supaya bersurai walaupun tempoh 30 minit sudah diberi untuk berhimpun yang tidak sepatutnya berlaku, mencemarkan nama institusi yang menjadi gedung ilmu melahirkan cendekiawan.
Tindakan mereka tidak ubah seperti samseng jalanan yang dangkal pemikiran, pada hal mereka golongan terpelajar yang bakal mendidik anak bangsa, malah sesetengahnya bakal menjadi pemimpin. 

Permintaan memansuhkan AUKU menimbulkan persoalan, adakah mahasiswa tiada kebebasan sebagai manusia ketika di universiti? Bagi yang pernah belajar di universiti, pasti dapat melihat dan menilai bagaimana rakan mereka merancang cara hidup, berkomunikasi, belajar dan mengurus masa belajar. 

Mungkin ada ibu bapa atau masyarakat tidak dapat membayangkan suasana kehidupan mahasiswa di kampus. Boleh jadi, masyarakat dan ibu bapa sering menganggap anak mereka di universiti bertungkus-lumus mengulang kaji pelajaran, menyiapkan tugasan dan aktif aktiviti kolej serta universiti. 

Mereka mungkin tidak menyangka wujud sisi gelap kehidupan pelajar universiti yang sebenarnya hidup bebas sama ada bersama teman sekuliah atau kekasih masing-masing. 
Di universiti, masyarakat mungkin tidak tahu kewujudan pelbagai karakter pelajar sama ada malas atau rajin, jenis ulat buku atau mengambil kesempatan atas usaha teman sekuliah untuk lulus peperiksaan. 

Itu belum lagi diselak masalah sosial seperti pelajar lelaki dan perempuan yang bersekedudukan di rumah sewa, menjadi mat rempit, ambil dadah, menghabiskan wang pinjaman untuk berhibur di kelab malam, ketagih permainan video dan menyertai kumpulan muzik underground atau black metal. 

Namun, kebanyakan siswa gigih belajar untuk mendapat keputusan cemerlang. 
Malah, ada yang langsung tidak mengambil tahu isu semasa dan politik tanah air kerana sibuk menelaah atau aktif dalam kegiatan kolej. 

Perkara itu diakui bekas graduan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang kini menjadi Penolong Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz. 

Kewujudan sisi gelap disebabkan pelajar sedang meneroka potensi idealisme masing-masing selepas tamat persekolahan. 

Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), berkata kehidupan sebagai mahasiswa satu pengalaman menarik, penuh dengan kebebasan dan keseronokan. 

“Ia zaman pelajar mengasah idealisme, zaman anak muda suka kepada perkara baru yang mungkin bersifat agak ‘gila’ tetapi itulah yang paling hampir dengan jiwa muda. Cuma yang membezakan dengan anak muda lain ialah mereka pelajar universiti,” katanya. 

Beliau menegaskan, penentu kejayaan mahasiswa bergantung kepada sikap, mentaliti dan keanjalan berdepan isu dan bukan dipengaruhi latar belakang pendidikan di sekolah. 

Kata Muhammad Faisal, ada pelajar cemerlang dari sekolah berasrama gagal di universiti kerana mengalami kejutan budaya sistem pembelajaran yang memberi kebebasan. 

Namun, kejadian di UPSI membuktikan kewujudan sisi gelap mahasiswa yang mungkin tidak diketahui ibu bapa dan masyarakat. Apabila ada yang lantang meminta kerajaan mansuhkan AUKU, ia mencetuskan tanda tanya, benarkah mereka menuntut kebebasan atau sekadar menjadi alat pihak tidak bertanggungjawab. 
(sumber dari sini)