KUANTAN: Sebanyak 121 kursus dalam beberapa bidang pengajian baru akan diperkenalkan di universiti tempatan, tahun ini bagi memenuhi keperluan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan keperluan industri.
Gambar Hiasan |
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata antara program baru itu adalah Kejuruteraan Komputer, Kejuruteraan Perisian, Sains Pertanian, Sains Kesihatan, perbankan Islam dan program teknikal.
“Program ini juga mempunyai kebolehpasaran yang tinggi, namun kebanyakan pelajar cenderung memilih program kompetitif seperti perubatan, pergigian, farmasi, undang-undang dan perakaunan.
“Hanya mereka yang memperoleh merit tinggi akan mendapat tempat,” katanya pada sidang media selepas Perasmian Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) kelapan, di sini, semalam.
Program itu dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mohamed Khaled berkata, pihaknya juga menyedari tumpuan terlalu diberikan kepada program kompetitif berikutan kekurangan pendedahan diberikan kepada pelajar mengenai program alternatif.
“Sebab itu, dalam karnival seperti ini kita memanggil semua guru kaunseling yang dapat memainkan peranan untuk sampaikan maklumat kepada pelajar.
“Dengan cara ini, melalui panduan kerjaya pelajar didedahkan kepada kerjaya yang sepatutnya mereka pilih sesuai dengan minat ketika di sekolah.
“Jadi, ini perlu disusun dan diatur supaya tidak ada mismatch antara cita-cita dan subjek yang kita belajar,” katanya.
Mengulas mengenai hasrat Adam Adli Abdul Halim, menyaman Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berikutan tindakan menggantung pengajiannya selama tiga semester, beliau berkata kementerian tidak campur tangan dalam kes itu.
“Kita mengamalkan negara bebas, sesiapa saja boleh saman. Dari segi kementerian, kita hormati kuasa dan kemampuan yang kita harapkan daripada universiti,” katanya.
Karnival dua hari berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah bertujuan menyediakan maklumat yang tepat dan terkini mengenai peluang pendidikan di negara ini.
(sumber dari sini)