Sunday, January 8, 2012

Mahkamah bebaskan Anwar & Saiful Bukhari Tenang dan Redha Dengan Keputusan Mahkamah

Tags

Mahkamah bebaskan Anwar

2012/01/09

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebas dan melepaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Gambar Hiasan
Keputusan itu dibacakan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, di Mahkamah Tinggi Jenayah 3 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini sebentar tadi.
Mohamad Zabidin menyatakan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus bahawa integriti sampel DNA tidak terusik.
“Saya mendapati adalah tidak selamat untuk bergantung kepada bukti DNA. Justeru, mahkamah hanya ada keterangan Saiful.

"Oleh kerana ini adalah jenayah seksual, mahkamah keberatan untuk menyabitkan berdasarkan keterangan Saiful. Tertuduh oleh itu dibebas dan dilepaskan," katanya.

Pihak pendakwaan yang diketuai Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusuf Zainal Abiden, ketika ditemui, berkata mereka belum memutuskan sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan dan berkata, mereka ada 10 hari untuk berbuat demikian. 

Anwar, 64, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meliwat Mohd Saiful di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini, antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. 
Perbicaraan kes liwat berkenaan yang mendapat tumpuan meluas media dan orang ramai, bermula pada 3 Februari 2010 dengan pihak pendakwaan memanggil 27 saksi dan empat saksi menyangkal, manakala lapan saksi pembelaan dipanggil termasuk Anwar yang memberikan keterangan daripada kandang tertuduh.

Ia adalah tuduhan liwat kedua dihadapi Anwar. Pada 1998, beliau pernah dituduh meliwat pemandunya, Azizan Abu Bakar.

Bagi tuduhan berkenaan, Anwar disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun selepas rayuan Mahkamah Persekutuan menolak sabitan dan mengetepikan hukuman penjara serta membebaskan Anwar. (sumber dari sini)

---------------------------------------------------------------------------------------------
Saiful Bukhari Tenang dan Redha Dengan Keputusan Mahkamah

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan redha dengan keputusan Mahkamah Tinggi apabila membebaskan bekas majikannya itu daripada tuduhan kes liwat yang dibuatnya tiga tahun lalu
” Tidak di dunia, namun di Masyar PASTI. Redha dgn ketentuaNya.  Akn trs tenang, doa, istiqamah & sabar. Illahi Antal Maksudi Wa Ridhoka Mathlubi,” katanya dalam twitter miliknya.
Perbicaraan kes itu bermula pada 3 Februari 2010 iaitu kira-kira dua tahun tujuh bulan selepas Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008.
Kes itu mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan ekoran pelbagai permohonan difailkan oleh Anwar sehingga berpuluh-puluh kali penangguhan telah dibenarkan oleh mahkamah.
Mohd. Saiful Bukhari dalam blognya turut mengucapkan terima kasih di atas doa dan sokongan rakyat Malaysia terhadapnya sebelum ini. Dia juga meminta semua terus berdoa agar kebenaran membabitkan kes itu muncul. Dia turut menyelitkan sepotong ayat Al-Quran;
“Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.” (At-Taubah 9:129)
Mohd. Saiful Bukhari turut menulis – Yang pasti, jika diambil nyawa, akan pergi dengan tenang, tiada lagi berhutang “Kebenaran” dengan sesiapa.
Dia dijangka mengulas keputusan mahkamah dalam blognya dalam masa terdekat
-Oleh SYAHRIL A. KADIR (sumber dari sini)