Tuesday, January 10, 2012

Tambah kuota guru pelatih Sabah, Sarawak

Tags

Naik 30 peratus bagi atasi masalah permohonan perpindahan 

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (KGS) menuntut Kementerian Pelajaran menaikkan kuota pengambilan guru pelatih dari Sabah dan Sarawak sehingga 60 peratus bagi mengatasi masalah kekurangan guru anak tempatan.
Langkah menambah lagi 30 peratus kuota sedia ada itu perlu untuk manfaat jangka panjang selain mengatasi masalah permohonan perpindahan guru asal Semenanjung bertugas di dua negeri itu.
Hanya guru tempatan memahami sentimen serta perasaan penduduk Sarawak dan Sabah berbanding guru luar yang mungkin agak sukar bergaul dengan mereka. - William Ghani Bina, Presiden KGS
Presiden KGS, William Ghani Bina, berkata setiap tahun kerajaan terpaksa berdepan ribuan permohonan dari guru Semenanjung yang ditugaskan di Sabah serta Sarawak, yang hanya mampu diatasi jika jumlah guru anak tempatan mencukupi.

Katanya, lebih banyak guru pelatih dari Borneo perlu diambil dalam dua hingga tiga tahun akan datang sebelum kuota pengambilan boleh kembali kepada asal, selepas bilangan guru di dua negeri itu mencukupi.

“Saya tidak salahkan guru dari Semenanjung yang memohon dipindahkan keluar dari Sabah dan Sarawak. Jika saya ada anak yang bertugas di Semenanjung, saya juga akan menyuruh dia pulang ke Sarawak.

“Saya menegaskan hanya guru tempatan memahami sentimen serta perasaan penduduk Sarawak dan Sabah berbanding guru luar yang mungkin agak sukar bergaul dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. 
Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan kuota pengambilan guru pelatih masing-masing dari Sabah dan Sarawak kekal 30 peratus, yang antaranya bertujuan mengurangkan jumlah permohonan pertukaran guru.

William berkata, kuota pengambilan sedia ada jelas tidak mencukupi kerana ia hanya menyelesaikan masalah kekurangan guru di dua negeri terbabit bagi jangka pendek saja.

“Saya katakan banyak kali, kementerian perlu mengambil ramai guru pedalaman terutama mengikut etnik seperti dari suku Penan, Orang Ulu serta masyarakat Melayu di sini juga.

“Secara tidak langsung apabila ramai masyarakat luar bandar diambil berkhidmat sebagai guru, taraf kehidupan mereka akan meningkat dengan kesedaran terhadap kepentingan pelajaran dapat ditingkatkan,” katanya.
(sumber dari sini)