Thursday, January 19, 2012

Gaji minimum sektor swasta tidak beri kesan besar: Subramaniam

Tags

IPOH: Kerajaan yakin skim gaji minimum dalam sektor swasta hanya akan memberi sedikit kesan negatif tidak langsung kepada orang ramai jika ia dilaksanakan kelak, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam.
Beliau berkata, kajian yang dilakukan kementeriannya mendapati walaupun ada sedikit kesan tidak langsung, ia tidak menimbulkan isu besar seperti kenaikan harga barang keperluan.
"Kita sudah membuat kajian dan mendapati walaupun ada kesan yang sedikit dan tidak langsung, ia tidak akan menjadi isu besar kerana orang ramai akan menikmati lebih banyak kebaikan yang mendatang hasil pelaksanaan skim gaji itu berbanding masalah lain yang dihadapi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar 'Peranan Kesatuan Sekerja Dalam Menjadikan Malaysia Negara Berpendapatan Tinggi' di sini, hari ini.
Kajian berhubung pelaksanaan skim gaji minimum sedang dijalankan dan hasilnya akan dikemukakan kepada Kabinet bagi mendapat kelulusan sebelum dibentangkan ke Parlimen dalam tempoh terdekat, katanya.

Subramaniam berkata, secara prinsipnya, semua pihak yang berkenaan bersetuju terhadap pelaksanaan skim gaji minimum itu dan menjangka ia akan dibentangkan di Parlimen pada Mac ini.

"Kerajaan menjadi pengadil. Penetapan dibuat oleh majlis yang bebas diwakili oleh pihak majikan, pekerja dan wakil bebas. Segala pandangan dan keputusan dibuat dalam majlis melalui persetujuan majikan dan pekerja dengan mengambil kira kadar kemiskinan, pengangguran dan produktiviti," katanya.

Mengenai Pinjaman Latihan Kemahiran bagi Golongan Pekerja yang diseliakan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran di bawah kementerian itu, beliau berkata, skim itu kurang mendapat sambutan kerana pekerja sudah selesa dengan keadaan masing-masing sekarang dan juga tidak berani melakukan sesuatu yang lebih baik. 
"Pekerja tidak mahu meninggalkan kerja dan tidak mahu mengambil cuti, jadi ini antara masalah yang dihadapi. Mereka juga selesa dengan suasana kerja sedia ada dan tidak berani meningkatkan diri mereka ke arah yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata, setakat ini daripada peruntukan RM100 juta setiap tahun yang disediakan di bawah program itu, hanya RM20 juta digunakan bagi tujuan membantu golongan pekerja meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka.

"Kita tidak laksanakan program latihan itu sebagai kewajipan, namun kita berharap satu pembaharuan sikap akan berlaku. Pembelajaran adalah sepanjang hayat dan tidak berhenti selepas tamat persekolahan dan universiti saja," katanya. - BERNAMA
(sumber dari sini)