Monday, January 16, 2012

Pelajar akui bergurau bom helikopter PM

Tags

GEORGETOWN: Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang disiasat kerana membuat ugutan berunsur jenayah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di dalam laman sosial, Facebook, adalah atas kehendaknya sendiri dengan niat bergurau. 
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob, berkata selepas disoal siasat, pelajar tahun empat jurusan kejuruteraan itu mengakui dia berniat untuk bergurau dan sekadar main-main serta menyesal dengan perbuatannya itu.
“Walaupun dia bergurau, kesnya disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan kesalahan cuba menakutkan secara jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Polis Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang di Tanjung City Marina, di sini, semalam. 

Kelmarin, pelajar berusia 24 tahun itu ditahan polis kerana didakwa membuat ugutan berunsur jenayah ke atas Najib di dalam laman sosial, Facebook yang berbunyi : “Najib is coming to our campus....lets bomb his helicopter.” 

Dia ditahan berikutan satu laporan polis dibuat selepas satu blog menyiarkan perbuatan pelajar berkenaan. Pelajar itu yang disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di di sini, dibebaskan kira-kira jam 5.30 petang kelmarin. 

Mengulas lanjut, Ayub berkata, pelajar terbabit dilepaskan dengan jaminan selama sebulan bagi membolehkannya menduduki peperiksaan universiti. 
“Malah, keluarganya yang dipanggil untuk membantu siasatan turut memberi jaminan. Bagaimanapun, polis boleh memanggilnya pada bila-bila masa sekiranya perlu bagi membantu siasatan. 

“Kita sedang menjalankan siasatan terperinci termasuk di kalangan keluarga dan rakannya bagi memastikan tiada sebarang campur tangan anasir subversif,” katanya. 

Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Omar Osman berkata, pihaknya memandang serius kes pelajar terbabit kerana perbuatan itu tidak wajar berikutan ia boleh mengancam keselamatan. 

“Kita tidak akan berkompromi dengan perbuatan sedemikian serta menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya, malah sedia bekerjasama,” katanya dalam kenyataannya di sini, semalam.
(sumber dari sini)

2 comments

xde keje kan..byk bende nak gurau, pegi gurau bnde camtu knapa. kan sengal tu namanya

mungkin dah benci sangat, tu yang terbit perkataan-perkataan macam tu kan..salah siapa?