Tuesday, January 10, 2012

Hukuman kes Adam Adli pengajaran buat pelajar IPT

Tags

KEPUTUSAN Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggantung pengajian pelajarnya, Adam Adli Abdul Halim selama tiga semester mendapat pelbagai reaksi. Ada yang menganggap tindakan terhadap pelajar tahun akhir jurusan Mengajar Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu sebagai menindas, bermotifkan politik dan jelas menghalang pelajar daripada menyuarakan pandangan. Suara ‘protes’ itu bukan saja dikeluarkan pihak pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan yang seiring dengan perjuangan mereka.
Parti komponen Barisan Nasional (BN), GERAKAN turut melemparkan kecaman sama kepada UPSI dengan menyatakan universiti itu bertindak keterlaluan. Adam Adli, 22, dilaporkan menurunkan bendera dengan wajah Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur, 17 Disember lalu. Di atas tindakannya itu Pihak Berkuasa Tatatertib Pelajar UPSI mendapati tindakannya itu merosakkan dan memudaratkan nama baik universiti, pelajar serta kakitangan UPSI. Tindakannya juga dilihat boleh mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.

Kita berpendapat tindakan dikenakan itu bukanlah bersifat menghukum tetapi lebih sebagai pengajaran. Pengajaran yang dimaksudkan bukanlah untuk Adam Adli seorang tetapi untuk semua pelajar universiti. Kes Adam Adli harus dijadikan iktibar kepada pelajar agar menghormati undang-undang dan lebih peka terhadap sensitiviti kelompok lain. Sebagai penuntut universiti, mereka juga sepatutnya menunjuk teladan baik yang boleh dicontohi masyarakat luar kampus, terutama generasi pelajar bagaimana menghormati pemimpin negara. 

Memang benar, bagi memberi makna kepada sistem demokrasi diamalkan negara, mahasiswa wajib diberi ruang berfikir secara kritikal, berbincang secara mendalam dan bersuara dengan lantang. Namun kebebasan dimaksudkan itu harus digunakan secara bertanggungjawab dan dalam ruang lingkup undang-undang. Ia harus digunakan untuk membawa kebaikan dan bukan menimbulkan kemarahan orang lain dengan menghina pemimpin negara.

Sebagai bakal pendidik, Adam Adli harus sedar bahawa jika guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari. Segala tindak tanduk diperhati dan menjadi ikutan anak didiknya kelak. Sekiranya tidak diperbetul tingkah lakunya yang lebih cenderung mengikuti emosi, tidak mungkin beliau boleh melahirkan generasi muda yang mampu berfikir dengan bijaksana. Di atas hujah ini, Adam Adli harus menggunakan tempoh ‘rehat’ yang diberikan kepadanya untuk muhasabah dan memperbetulkan dirinya agar dapat menjadi pendidik yang mampu mengubah negara ke arah yang lebih baik. Dalam pada itu, kita berharap tidak wujud batu api yang cuba menangguk di air keruh untuk kepentingan politik sempit pihak tertentu.
(Sumber dari sini)