Wednesday, January 11, 2012

Dakwat kekal untuk PRU-13 bukan najis

Tags

pix_gal0
Majlis Fatwa putuskan 'silver nitrate' dibenar syarak 

PUTRAJAYA: Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan penggunaan dakwat kekal mengandungi 'silver nitrate' yang akan dicalit pada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dibenarkan syarak.
Pengerusinya, Prof Tan Sri Dr Abd Shukor Hussin, berkata keputusan itu diambil berdasarkan bahawa dakwat kekal itu tidak mengandungi bahan najis diharamkan syarak, tidak memudaratkan kesihatan serta telap atau tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan.
“Selepas mendengar pandangan pelbagai pihak termasuk, Jabatan Kimia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), muzakarah bersetuju memutuskan bahawa dakwat kekal yang diuji itu dibenarkan syarak kerana tidak menimbulkan masalah kepada umat Islam untuk melaksanakan ibadat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung perkara itu di sini, semalam. 

Mesyuarat itu dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, wakil SPR, Jabatan Kimia dan mufti seluruh negara. 

Sebelum ini, SPR mengumumkan dakwat kekal mengandungi ‘silver nitrate’ akan digunakan pada PRU-13 dan sudah dihantar ke Jabatan Kimia pada Disember lalu untuk diteliti kandungan dan kesesuaiannya digunakan di negara ini. 

Penggunaan dakwat kekal adalah usaha SPR menambah baik pelaksanaan pilihan raya selepas ia dipersetujui oleh Jawatankuasa Pemilih Parlimen bagi menambah baik proses pilihan raya. 
Bagaimanapun, Abd Shukor berkata, keputusan muzakarah semalam hanya tertakluk kepada dakwat kekal yang diuji SPR dan mengandungi bahan sama seperti yang dibentangkan dalam mesyuarat itu. 

“Jika jenis dakwat yang akan digunakan nanti (PRU-13) berbeza dengan dakwat yang sudah diputus dan diuji ini, maka muzakarah perlu lihat semula keputusan ini, tetapi dimaklumkan SPR akan menggunakan dakwat kekal yang diuji itu yang mengandungi bahan sama,” katanya. 

Dakwat kekal ‘silver nitrate’ itu adalah dakwat kekal berbeza yang pernah dicadangkan digunakan pada PRU-12 yang mana muzakarah memutuskan membenarkan penggunaannya pada Ogos 2007. 

Bagaimanapun, dakwat itu dilupuskan menerusi proses pembakaran pada November 2009 berikutan faktor keselamatan dan perundangan.
(sumber dari sini)