Tuesday, January 17, 2012

Guru j-Qaf perlu sedia terima tugas

Tags

KUALA LUMPUR: Guru j-Qaf diminta bersedia menerima tugas dipertanggungjawabkan kepada mereka walaupun terpaksa bertugas di pedalaman, termasuk Sabah dan Sarawak. 
Gambar Hiasan
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kementerian bersimpati dengan nasib guru j-Qaf di sana, namun perlu memberi keutamaan kepada pelajar yang berdepan masalah kekurangan guru.
Beliau berkata, meskipun kementerian membuat perjanjian guru j-Qaf boleh memohon bertukar ke Semenanjung selepas berkhidmat tiga tahun, permohonan perlu melalui mesyuarat berpusat e-GTukar, yang diadakan dua tahun sekali.
“Mesyuarat ini mempertimbangkan beberapa perkara terutama masalah pengganti guru kerana jawatan guru j-Qaf adalah di luar norma, yang mana pengganti diperlukan jika pertukaran diluluskan. 

“Keterbatasan tempat di negeri asal dimohon bertukar juga menyebabkan kelulusan pertukaran diberi terhad dan mengikut keutamaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu guru j-Qaf di Sarawak yang sukar bertukar walaupun sudah mencukupi tempoh perkhidmatan. 

Lebih 1,000 guru j-Qaf mula dihantar bertugas ke Sarawak sejak 2005 masih belum dapat bertukar ke Semenanjung meskipun sudah melebihi tempoh berkhidmat sehingga mengakibatkan guru berkenaan menghadapi tekanan. 
Bagaimanapun, katanya, kementerian berusaha mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan masalah pertukaran itu diatasi sebaik mungkin. 

“Sejak tahun lalu, kementerian cuba menyeimbangkan jumlah pengambilan guru dengan dasar 30:30:40 iaitu 30 peratus guru masing-masing dari Sabah dan Sarawak, manakala 40 peratus lagi guru Semenanjung,” katanya. 

Di KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) meminta Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan kementerian bersikap sensitif dan bertimbang rasa ketika berdepan isu perpindahan guru j-Qaf ke Semenanjung. 

Tindakan tidak membenarkan guru j-Qaf berpindah hanya akan menyebabkan guru berkenaan bertugas dalam keadaan tidak rela dan gembira dengan kesannya akan dihadapi murid atau pelajar sekolah tempat mereka bertugas.
(sumber dari sini)