Sunday, January 15, 2012

Senyuman kumpulan pertama dapat BR1M

Tags




KEPALA BATAS: Seramai 67 penerima dari kawasan Parlimen Kepala Batas, semalam muncul sebagai kumpulan pertama rakyat yang menerima RM500 seorang di bawah program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

ZABARIAH menyerahkan baucar RM500 kepada Lim Guat Ean,97, pada Majlis Pemberian Angpau dan Bantuan Kepada Warga Tua Sempena Tahun Baru Cina 2012 di Kepala Batas, semalam.
ZABARIAH menyerahkan baucar RM500 kepada Lim Guat Ean,97, pada Majlis Pemberian Angpau dan Bantuan Kepada Warga Tua Sempena Tahun Baru Cina 2012 di Kepala Batas, semalam.

Mereka adalah antara 44,000 pemohon di Pulau Pinang yang akan menerima baucar tunai RM500 setiap seorang secara berperingkat bermula semalam, membabitkan pembiayaan sebanyak RM22 juta.
Penerima menerima baucar berkenaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Zabariah Wahab pada Majlis Pemberian Ang Pau dan Bantuan Kepada Warga Emas Sempena Tahun Baru Cina 2012, di sini. Baucar itu boleh ditunaikan di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), CIMB dan Maybank di seluruh negara.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata jumlah ketua keluarga yang layak menerima bantuan itu mulai semalam adalah bagi fasa pertama pembayaran dan jumlah berkenaan dijangka bertambah.

Katanya, ketua keluarga berpendapatan kurang RM3,000 sebulan yang belum memohon masih boleh berbuat demikian sehingga 10 Februari berikutan keputusan kerajaan melanjutkan tarikh akhir penyerahan borang.

“Pemohon yang gagal juga boleh membuat rayuan. Pemohon boleh mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat petugas di Pusat Khidmat wakil rakyat dan penyelaras Barisan Nasional (BN) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung/Persekutuan," katanya majlis ramah mesra dengan penduduk serta menyampaikan sumbangan khemah kepada surau Simpang Tiga, Kampung Besar, di Tasek Gelugor, di sini.

Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, pemberian bantuan itu membuktikan keprihatinan kerajaan BN kepada rakyat berpendapatan rendah. 
Kelmarin, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata sehingga Selasa lalu, 4.12 juta borang BR1M diterima di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 3.1 juta diluluskan.

Mereka akan mula menerima baucer RM500 seorang itu mulai hari ini.
(sumber dari sini)