Monday, January 16, 2012

Ops Sikap: Polis saman serta-merta

Tags

PETALING JAYA: Pesalah trafik Ops Sikap 25 akan dikenakan saman serta-merta bagi mengurangkan kemalangan terutama membabitkan kematian sempena sambutan Tahun Baru Cina bermula semalam hingga 30 Januari ini.
Sehubungan itu, polis akan memberi fokus pematuhan had laju, operasi terhadap penunggang motosikal, pemandu mabuk, penggunaan lorong kecemasan, memotong barisan dan pelanggaran lampu isyarat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, tindakan itu mampu mengubah sikap pengguna jalan raya supaya tidak melanggar peraturan yang boleh menyumbang kepada kemalangan maut.
Selain itu, katanya, pihaknya juga menekankan konsep 3C iaitu kolaborasi, komunikasi dan kreativiti seperti yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam meningkatkan kualiti dan prestasi perkhidmatan sektor awam.

“Dalam kempen Ops Sikap tahun lalu, pendekatan yang digunakan kami secara advokasi dengan menekankan kaedah pemerhatian, namun tidak berkesan apabila jumlah kemalangan maut menunjukkan peningkatan.

“Sehubungan itu, kaedah lebih tegas diambil melalui tindakan penguatkuasaan dan operasi, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Ops Sikap ke-25 dan Kempen Rumah Selamat sempena Tahun Baru Cina di Persada PLUS, di sini, semalam.

Ismail berkata, polis juga akan mewujudkan 97 pasukan khas memantau 97 lokasi kemalangan maut yang dikenal pasti di seluruh negara sepanjang Ops Sikap 25 dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut. 
“Pasukan itu bertanggungjawab mengenal pasti sebarang masalah timbul, termasuk kesesakan di lokasi itu sebelum mengambil pendekatan sesuai bagi melancarkan pergerakan trafik serta mengurangkan kadar kemalangan sepanjang kempen 15 hari sempena Tahun Baru Cina.

“Kami mengenal pasti 97 laluan maut tahun ini, berbanding 87 ketika Ops Sikap 24, Aidilfitri tahun lalu, ” katanya.

Selain itu, katanya, jumlah kenderaan berdaftar di negara ini meningkat mendadak iaitu melebihi 21 juta berbanding 5,379 anggota trafik seluruh negara yang jelas menunjukkan ketidakseimbangan dalam nisbah jumlah kenderaan dan anggotanya.

Ops Sikap 24, tahun lalu sempena Aidilfitri mencatatkan rekod kematian terburuk sejak operasi itu dilancarkan 11 tahun lalu dengan 289 kematian dicatatkan dalam tempoh kempen dua minggu.

Ismail turut menasihatkan orang ramai supaya mengisi borang balik kampung yang disediakan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan tindakan awal diambil polis termasuk pemantauan dan rondaan di kawasan rumah mereka ketika bercuti raya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, meminta orang ramai yang balik kampung sempena Tahun Baru Cina menggunakan kenderaan awam bagi perjalanan lebih selamat.

“Ops Sikap 24, tahun lalu membuktikan pengangkutan awam lebih selamat dengan merekodkan sifar kematian dan hanya satu kematian ketika Ops Sikap 23, ” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan di Pudu Sentral semalam.
(sumber dari sini)