Sumber Dari sini
KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta 15,400 penjawat awam yang mencatat prestasi rendah tetapi mendakwa berlaku penganiayaan akibat proses penilaian tidak adil atau gagal mematuhi sistem ditetapkan, segera memfailkan aduan kepada kesatuan itu.
Ini berikutan CUEPACS diberi mandat mengemukakan aduan itu secara langsung kepada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, hasil perbincangan malam kelmarin di antara Presiden kesatuan itu, Datuk Omar Osman dan Abu Bakar. Omar berkata, JPA akan diberi maklumat setiap aduan terperinci dan CUEPACS pula memantau rapi perkembangan semua kes bagi memastikannya benar-benar disiasat serta diambil tindakan sewajarnya.
Tegasnya, CUEPACS memandang serius perkara itu kerana menerima banyak aduan penjawat awam yang tidak berpuas hati dan mendakwa wujud elemen pilih kasih dan ketidaktelusan. Ini termasuk dakwaan tidak dipanggil bersemuka oleh penilai serta tidak dimaklumkan markah mereka yang mencetuskan tanda tanya. Keluhan itu diterima pada sesi dialog dan perjumpaan dengan ahli peringkat umbi di serata pelusuk negara.
Ada penjawat awam mendapat markah 69 peratus mendakwa digertak boleh mendapat akibat seperti disekat peluang kenaikan pangkat atau gaji jika mempertikaikan hasil penilaian diperoleh.
Walaupun belum kritikal, isu ini tidak boleh terlepas pandang. Ia mesti ditangani segera bagi mengelakkannya kian serius sehingga jadi masalah besar yang menggugat integriti dan mengakibatkan kakitangan awam hilang kepercayaan terhadap penilai, atau lebih buruk lagi mencetuskan pertelingkahan antara kedua-dua pihak, katanya.