Ini ada berita tentang Graduan ISMP, dan sedikit tentang GSTT, sila baca.
Minda Pengarang: Graduan ISMP terpilih jadi guru mesti beri komitmen, tak banyak kerenah
sumber dari sini
KEMELUT kira-kira 5,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) lepasan institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang mendakwa digantung tidak bertali oleh Kementerian Pelajaran sudah terlerai. Kelmarin, mahasiswa ISMP lepasan IPTA yang sebelum ini mendakwa dianaktirikan kementerian kerana lebih mengutamakan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) untuk diserap sebagai guru tetap, mendapat jaminan daripada Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi sendiri, mereka akan ditempatkan di sekolah menengah seluruh negara mulai Januari ini.
Komitmen kerajaan dalam isu ini amat dihargai kerana ia jelas menunjukkan kerajaan mahu mengatasi masalah pengangguran graduan ISMP, sekali gus memberi petanda jelas kerajaan tidak mengabaikan nasib graduan terbabit, sebaliknya berusaha membantu mereka mendapatkan pekerjaan setaraf dengan kelulusan mereka. Perkembangan ini juga jelas menunjukkan kerajaan benar-benar serius untuk memberikan tumpuan kepada pembangunan modal insan bagi melahirkan generasi masa depan yang cemerlang dengan mengambil graduan ISMP menjadi tenaga pengajar di sekolah menengah, sekali gus membantu kerajaan memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Kita juga menghargai kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi menerusi penubuhan jawatankuasa bersama bagi menyelesaikan pelbagai masalah tertangguh yang dihadapi graduan ISMP, terutama dalam soal penempatan sekolah mengajar. Kita berharap Kementerian Pelajaran dapat menggunakan peruntukan RM50.2 bilion untuk sektor pendidikan melalui Bajet 2012 lalu bagi menyelesaikan isu berkaitan guru, termasuk soal penempatan guru yang membabitkan lepasan IPTA. Bagi graduan terpilih, mereka seharusnya bersyukur dengan tidak pula menimbulkan pelbagai kerenah kepada kementerian apabila dihantar bertugas di sekolah luar bandar, kawasan hulu atau pedalaman.
Keprihatinan kerajaan mengenai nasib mereka perlu diberikan balasan sewajarnya dengan memberikan komitmen penuh mendidik anak bangsa supaya menjadi pelajar cemerlang. Pada masa sama, kita berharap GSTT yang ada dan belum diserap sebagai guru tetap tidak bimbang dengan masa depan mereka kerana peluang diberikan kepada mahasiswa ISMP hanya untuk mengisi kekosongan guru di sekolah menengah. Apapun keputusan yang dibuat kerajaan, baik membabitkan lepasan ISMP, institut perguruan dan GSTT, ia hanya bermatlamatkan mahu memenuhi aspirasi Dasar Pendidikan Kebangsaan.