Saturday, December 3, 2011

CUEPACS beri jaminan perjuangkan nasib pekerja kontrak

Tags

2011/12/03 sumber Dari Sini

TEMERLOH: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memberi jaminan akan terus memperjuangkan nasib kira-kira 20,000 penjawat awam berstatus kontrak yang berkemungkinan kehilangan pekerjaan awal Januari depan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, CUEPACS sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas pengumuman Belanjawan 2012 lalu dan berharap kerajaan akan menyambung kontrak dua atau tiga tahun lagi kepada penjawat awam terbabit.



"Pada masa yang sama CUEPACS akan berusaha bertemu dengan pihak tertentu seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mencari mekanisme terbaik berhubung isu itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Pahang Bersama Cuepacs di sini, hari ini.
Omar berkata, penjawat awam berstatus kontrak itu akan tamat kontrak mereka pada 31 Disember ini dan berhadapan dengan kemungkinan kontrak mereka tidak disambung.

"Isu ini sering dibangkit setiap kali perjumpaan dengan penjawat awam yang meminta Cuepacs berperanan membantu mereka yang akan kehilangan pekerjaan walaupun ada yang sudah berkhidmat lebih 15 tahun," katanya.

Sementara itu, Omar berkata, kira-kira 1.4 juta penjawat awam bakal menikmati pelbagai faedah dan insentif menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.

"Ia selaras dengan beberapa perubahan seperti skim pencen, gaji dan elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan yang dilanjut sehingga usia 60 tahun," katanya. 
Beliau berkata, sebagai persediaan penjawat awam perlu bersedia dari segi minda dan fizikal serta sanggup menerima perkembangan teknologi selari dengan perubahan umur bersara pada usia 60 tahun. - BERNAMA