Monday, December 19, 2011

Keputusan Semakan GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH (GSTT), Apa Status Anda?

Tags

Setelah hampir setahun menunggu bermula daripada tarikh pengumuman pada bulan Disember 2010 daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran untuk menyerap GSTT menjadi guru terlatih kini menjadi kenyataan apabila semakan keputusan GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH(GSTT) AMBILAN DISEMBER 2011 dapat disemak mulai semalam, 19 Disember 2011 melalui laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) http://apps.moe.gov.my/abpg/gstt_tawar/ .
Bagi golongan GSTT yang berjaya, Sejuta kesyukuran diucapkan diatas segala nikmat yang dinikmati, namun bagi segelintir GSTT yang tidak berjaya untuk mendapat tempat bagi mengikuti program KPLI dan DPLI GSTT ambilan Disember 2011 ini, mungkin seribu kesedihan melanda mereka kerana ini adalah peluang terbaik bagi mereka untuk mengikuti program KPLI dan DPLI ini.

Jutaan Tahniah dan Syabas saya ucapkan kepada semua GSTT yang berjaya untuk mengikuti kursus perguruan KPLI dan DPLI kali ini. Gunakanlah peluang yang berharga ini untuk menimba seberapa banyak ilmu dan terus menyampaikan ilmu yang berguna kepada pelajar-pelajar di sekolah nanti. Kepada GSTT yang kurang bernasib baik, jangan berputus asa dek kerana kegagalan anda. Bak kata pepatah, rezeki tetah ditentukan oleh Allah SWT, semestinya ada rezeki yang lebih baik untuk anda. Terus bersangka baik pada Allah SWT kerana dia maha mengetahui tentang segalanya. Sesungguh setiap apa yang berlaku ada hikmahnya.

Namun, terdapat sedikit perkhabaran gembira yang disiarkan di kaca televisyen dan akhbar buat GSTT yang tidak berjaya tentang permohonan rayuan sedikit sebanyak dapat melegakan golongan GSTT yang tidak bejaya ini. Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong, 2,788 GSST pula tidak mengemukakan dokumen yang lengkap untuk dipertimbangkan bagi mengikuti kursus perguruan dan mereka diberi tempoh sehingga Isnin depan untuk membuat rayuan. "Mereka diberi tempoh sehingga 26 Disember untuk kemukakan dokumen asal dan kami akan terima mereka secara berperingkat,". Dengan sedikit perkhabaran gembira ini, diharap GSTT yang tidak berjaya tetapi melepasi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh KPM terus membuat rayuan kepada KPM dalam masa terdekat ini. Ini menunjukkan pihak KPM terus prihatin dengan nasib GSTT yang tidak berjaya.

Namun, bagaimana pula dengan GSTT yang hanya berkhidmat setahun sahaja, adakah golongan GSTT ini akan terus dipinggirkan? Menurutnya lagi,  "2,928 GSTT pula tidak layak untuk mengikuti kursus perguruan kerana melebihi had umur serta tempoh berkhidmat kurang daripada dua tahun secara berturut-turut". Ini berkemungkinan merupakan faktor utama kenapa GSTT yang hanya berkhidmat setahun tidak berjaya untuk mengikuti kursus KPLI dan DPLI ini. Syarat utama yang ditetapkan oleh KPM adalah seseorang GSTT itu perlu berkhidmat 2 tahun berturut-turut sebagai GSTT dan umurnya mestilah tidak melebihi 35 tahun. 

Namun KPM juga tidak mengabaikan golongan ini apabila kementerian menawarkan mereka meneruskan perkhidmatan secara "contract of service". Jadi, kepada GSTT yang hanya berkhidmat setahun dan tidak berjaya untuk mengikuti program KPLI dan DPLI ini, KPM akan memberi tawaran untuk berkhidmat secara contract of service berkemungkinan pada tahun hadapan.

Jadi, terjawab sudah segala persoalan mengenai proses penyerapan GSTT ke jawatan tetap dengan mengikuti program KPLI dan DPLI. Kepada yang berjaya, Tahniah saya ucapkan kepada semuanya, kepada yang kurang bernasib baik, jangan berputus asa, yang melepasi syarat, teruskan untuk membuat rayuan kepada KPM, dan kepada yang tidak melepasi syarat, teruskan minat anda didalam bidang pendidikan. Tidak kisah lah anda berada dimana, "sekali menjadi guru, selamanya anda adalah guru".

Dengan ini, sekian saja dari saya. Jika terdapat sebarang kata-kata yang menyinggung mana-mana pihak, ampun dan maaf saya pinta. Dibawah ini, saya serta kan keratan akhbar mengenai proses penyerapan GSTT ini.


7,079 guru STT ditawarkan ikuti kursus perguruan



2011/12/19

PUTRAJAYA: Seramai 7,079 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan ditawarkan mengikuti latihan dan kursus perguruan mulai Januari depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 4,433 GSTT akan mengikuti latihan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai Februari, manakala selebihnya di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), bermula 9 Januari.
Beliau berkata, adalah antara 13,184 GSTT yang sudah berkhidmat sejak Jun tahun lalu dan diberikan keutamaan kerana memenuhi syarat, antaranya sudah berkhidmat sebagai GSST lebih dua tahun serta berusia tidak lebih 35 tahun pada 31 Disember 2010.
"Kementerian Pelajaran memang memandang serius apa jua pandangan dan keluhan berhubung GSTT. Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang juga Menteri Pelajaran turut begitu prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh GSTT.

"Ini (pengumuman hari ini) menunjukkan komitmen dan janji Timbalan Perdana Menteri kepada 13,184 GSTT yang berkhidmat dalam Kementerian Pelajaran dan dikotakan oleh beliau sendiri," katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Guru Sandaran di sini hari ini.

Daripada 13,184 GSTT, Wee berkata seramai 1,799 pula sedang mengikuti kursus dan latihan perguruan mod Kursus Dalam cuti (KDC) manakala 2,788 GSST pula tidak mengemukakan dokumen yang lengkap untuk dipertimbangkan bagi mengikuti kursus perguruan dan mereka diberi tempoh sehingga Isnin depan untuk membuat rayuan.
"Mereka diberi tempoh sehingga 26 Disember untuk kemukakan dokumen asal dan kami akan terima mereka secara berperingkat," katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,928 GSTT pula tidak layak untuk mengikuti kursus perguruan kerana melebihi had umur serta tempoh berkhidmat kurang daripada dua tahun secara berturut-turut.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan kumpulan itu komited terhadap sistem pendidikan negara, maka kementerian menawarkan mereka meneruskan perkhidmatan secara "contract of service".

"Contract of service ini tidak dibuat untuk jangka panjang...secara berperingkat dan boleh diperbaharui mengikut keperluan pada ketika itu," katanya.

Wee turut memberi jaminan bahawa mereka yang berkhidmat secara "contract of service", pendapatan dan kebajikan mereka akan tetap sama seperti ketika menjadi GSTT.

Wee berkata, Timbalan Perdana Menteri juga membuat keputusan bahawa semua GSST berkenaan tidak perlu membayar balik gaji yang diterima mereka sejak Oktober lalu.

"Dengan pengumuman hari ini, isu ini dianggap sudah diselesaikan secara komprehensif dan jangan ada yang bangkitkannya lagi," katanya. - BERNAMA